PKR membidas tulisan seorang pensyarah Dr Ridhuan Tee Abdullah dalam sebuah akhbar hari ini yang disifatkan sarat dengan nada ketaksuban agama dan perkauman.
Pengerusi biro hak asasi manusia dan undang-undang PKR S Jayathas berkata rencana itu bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan beragama.
"Kenyataan ini memaparkan baur-baur perkauman yang tebal dan boleh mencetuskan kekacauan dan huru hara antara pengikut agama," katanya yang merujuk kepada tulisan Ridhuan bertajuk 'Kesabaran Umat Islam Ada Had' di akhbar Sinar Harian hari ini.
Tulisan di ruangan "Buka Minda" itu antara lainnya mempersoalkan perayaan Thaipusam dan pembinaan rumah ibadat bukan Islam selepas pilihan raya umum ke-12.
"Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak.
"Kenderaan diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini," tulis Ridhuan dalam kolumnya.
Dalam tulisannya juga, Ridhuan menyifatkan rumah ibadat bukan Islam semakin "semakin tinggi dan berwarna-warni" hasil daripada peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri selepas pilihan raya yang lepas.
"Hari ini pergilah ke mana sahaja. Jika dahulu, rumah ibadat dan patung-patung tidak banyak kelihatan meriah. Kalau adanya pun agak suram dan tidak nampak tombolnya.
"Tetapi selepas PRU 12, keadaan jauh berubah. Mereka mendapat peruntukan sana sini, pusat dan negeri. Rumah ibadat kecil menjadi besar, tombol rendah menjadi tinggi dan berwarna-warni," tulisnya lagi.
Ridhuan turut mengkritik parti politik India komponen BN "yang jahil memahami budaya masyarakat Islam" kerana mahu filem kontroversi Vishwaroopam yang ditangguhkan tayangannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) diteruskan.
Seterusnya, beliau berhujah bahawa isu agama adalah isu sensitif dan mendakwa umat Islam kini semakin diambil kesempatan dan dipermainkan oleh orang lain.