Pengerusi Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) Syis Abdul Kadir berkata kumpulan siswa tersebut kini sedang mengumpul rakaman untuk mengenalpasti individu yang didakwa menyerang mereka dalam insiden yang berlaku di parlimen Pekan minggu lalu.
Syis berkata pihaknya juga akan membuat satu lagi laporan polis dan menyerahkan rakaman gambar dan video berkenaan untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
"Kita juga berharap kepada pihak berkuasa untuk bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan telus dan adil.
"Kami juga akan membuat sebaran berhubung apa yang berlaku kepada masyarakat. Kami akan menggunakan pentas ceramah (untuk menceritakan perkara ini)," katanya dalam sidang media di Universiti Malaya (UM) pagi ini.
Beliau yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam di kampus itu berkata, usaha untuk mengumpul bukti tersebut dijangka siap dalam minggu ini.
Minggu lalu, kumpulan mahasiswa tersebut mendakwa mereka diserang dan diugut dengan parang oleh individu yang tidak dikenali sewaktu mengedarkan risalah 'Surat Mahasiswa untuk warga Pekan' di kawasan tersebut yang diwakili oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam siri serangan tersebut, dua orang mahasiswi dari universiti tempatan juga mendakwa kain tudung mereka juga ditarik oleh sekumpulan individu, didakwa ahli Umno, ketika mengedarkan risalah di Bandar Pekan pada hari Jumaat lalu.
Mereka mendakwa, risalah yang dibawa turut dibakar oleh kumpulan tersebut.
Kumpulan itu pada awalnya bercadang untuk menyerahkan satu surat kepada Najib yang didakwa akan hadir ke satu majlis di kampus tersebut hari ini.
Surat berkenaan adalah berhubung hasrat mereka untuk meletakkan seorang calon mahasiswa sebagai lawan perdana menteri di kawasan parlimen Pekan, katanya.
Najib bagaimanapun tidak hadir ke majlis berkenaan hari ini.
Syis berkata, kumpulan mahasiswa berkenaan bagaimanapun akan tetap menghantar surat tersebut selewat-lewatnya awal minggu depan di pejabat Najib di Putrajaya.
"Kita serah surat kita di pejabatnya di Putrajaya. Kita pergi ke tempat dia, kita serah dengan cara mahasiswa," katanya.