Polis menolak dakwaan NGO ANAK yang mendakwa pihak keselamatan itu tidak berbuat apa-apa sewaktu berlaku kekecohan semasa ceramah di Felda Sungai Tengi 4 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata polis mengerahkan kira-kira 30 anggotanya, dua pegawai berpangkat ASP dan empat pegawai berpangkat Inspektor untuk berkawal di tapak ceramah pada malam kejadian.
"Kita berada di sana dan keadaan agak 'panas' namun kita berjaya mententeramkan keadaan," katanya sambil menambah keadaan mungkin bertukar lebih buruk jika polis tidak memantau majlis itu.
Presiden ANAK, Mazlan Aliman membuat dakwaan itu sewaktu mendedahkan satu video yang didakwa menunjukkan satu mesyuarat untuk menghalang ceramah NGO itu di Felda Sungai Tengi.
Mazlan mendakwa mesyuarat tersebut antara lainnya dihadiri wakil PERKASA, Umno, Majlis Belia Felda dan Jabatan Seranta Felda.
Beliau mendakwa, mesyuarat itu bersetuju mengadakan "huru-hara" bagi menghalang mereka daripada memasuki kawasan tanah rancangan tersebut.
"Huru-hara" yang dimaksudkan oleh pegawai Felda berkenaan, seperti yang dapat dikesan dalam video tersebut, merupakan tindakan untuk "membuat bising".
Mazlan turut mendakwa polis memberikan kebenaran untuk "huru-hara' itu dilakukan berdasarkan rakaman mesyuarat itu.
Ketika dihubungi, Norel Azmi yang sedia maklum tentang kewujudan rakaman bagaimanapun menafikan sepenuhnya dakwaan Mazlan.
Menurutnya, sebelum majlis berlangsung, satu pertemuan telah berlangsung di antara pihak Felda, polis dan penganjur.
Menurutnya, polis pada asalnya enggan memberikan kebenaran untuk majlis itu diadakan kerana menjangkakan kekecohan akan berlaku.
Namun katanya, penganjur memberikan alasan jamuan untuk majlis itu telah ditempah dan mereka turut bersetuju dengan permintaan Felda agar Mazlan Aliman tidak akan berada di pentas untuk berceramah.
Namun, akhirnya, syarat itu tidak dipatuhi penganjur pada malam kejadian, katanya.
1. Pegawai Felda enggan ulas video mesyuarat sekat ceramah
2. ANAK dakwa video tunjuk konspirasi sekat ceramah