Kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik, termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan sekumpulan warga Filipina di perairan negara di Lahad Datu, Sabah.
Sambil menegaskan keadaan di Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah terkawal, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan itu penting bagi memastikan kumpulan yang berjumlah antara 80 dan 100 anggota itu "keluar dengan selamat ke Selatan Filipina", sekaligus mengelak pertumpahan darah.
"Ini yang kita nak kerana mereka ada juga saudara mara di sini...jadi kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban dan sebab itu kita minta mereka balik dengan cara yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang Pekan Papar di sini hari ini.
ajib berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini di Lahad Datu berikutan laporan yang memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata pasukan keselamatan menahan sekumpulan warga asing menyamar sebagai anggota tentera cuba menceroboh perairan negara di Lahad Datu.
Ahmad Zahid berkata beliau mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama dengan polis mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.
Dalam menghadapi situasi genting itu, Najib, yang dimaklumkan tentang kejadian itu oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pagi ini, berkata: "Anggota polis kini bertindak atau
merupakan bulatan pertama mengepung kawasan tersebut dan bulatan kedua terdiri dari pasukan anggota tentera.
"Dari segi kekuatan, kuasa tempur kita adalah lebih dari cukup untuk memberkas mereka, tetapi kerajaan memilih jalan untuk buat perundingan dengan mereka supaya mereka keluar dengan aman balik ke Selatan Filipina," katanya.
Ditanya sama ada pihak berkuasa keselamatan Malaysia sudah mengenal pasti kumpulan itu, Najib berkata: "Lebih kurang kita sudah kenal pasti ".
"Tapi biarlah polis melakukan rundingan dengan mereka dan mudah-mudahan mencapai hasil dan kejayaan. Sebab mereka tak boleh ke mana, mereka dikepung...mereka tidak ada pilihan dan perlu cari jalan penyelesaian," katanya.
Apabila ditanya sama ada kumpulan itu bersenjata atau sebaliknya, Perdana Menteri berkata perkara itu dalam makluman polis dan "jangan buat spekulasi".
"Kita bukan mendedahkan maklumat dalaman...biar polis jalankan kerja mereka tanpa diganggu mana-mana pihak. Apa yang penting keberhasilan yang selesai tanpa pertumpahan darah," katanya.
Mengenai tahap keselamatan dan kawalan di perairan negara terutama pantai timur Sabah, Najib berkata perairan Malaysia amat luas tetapi apa yang penting ialah "kita dapat maklumat cepat".
"Kita mengepung mereka, bila dapat mengepung mereka, mereka tidak boleh ke mana. Kita mesti sedar lautan kita luas dan kita tidak boleh berada di setiap masa sentiasa 24 jam," katanya sambil menambah pihak berkuasa kerajaan Malaysia sudah memaklumkan kejadian itu kepada kerajaan Filipina.
- Bernama