Pasukan keselamatan Malaysia mengepung kira-kira 100 lelaki bersenjata di Lahad Datu, Sabah kelmarin, dipercayai dari serpihan puak pemberontak pemisah di selatan Filipina, demikian menurut polis Malaysia dan pegawai kerajaan hari ini.
Bagaimanapun, seorang pegawai Filipina berkata mereka rakyat negara itu yang tidak bersenjata yang telah dijanjikan tanah.
Insiden tersebut mengancam untuk membangkitkan ketegangan antara dua negara jiran di Asia Tenggara yang mana hubungan antara mereka sekali sekala menjadi genting oleh masalah keselamatan dan penghijrahan melalui sempadan laut.
Polis Malaysia berkata dalam satu kenyataan bahawa keadaan adalah "dalam kawalan", tetapi tidak mengatakan sama ada kumpulan tersebut telah bersetuju dengan permintaan supaya menyerah diri.
"Kita berhadapan dengan 100 warga asing bersenjata dari selatan Filipina.
"Pihak Tentera dan polis telah mengepung tempat warga asing itu menunggu," kata sumber tinggi kerajaan Malaysia yang tahu perkembangan situasi tersebut, kepada Reuters.
Katanya, lelaki bersenjata itu disyaki dari puak yang tidak berpuas hati dengan perjanjian damai baru-baru ini di Filipina dengan kumpulan pemberontak utama Islam di selatan pulau Mindanao.
Seorang pegawai kanan tentera Filipina menyangkalnya, dengan berkata mereka adalah rakyat Filipina yang tidak bersenjata yang telah dijanjikan tanah di Sabah.
Katanya, satu mesyuarat berhubung tuntutan tanah itu, telah menarik ramai orang dan mendapat perhatian pihak berkuasa Malaysia.
"Kita tahu bahawa orang-orang ini tiba di sana lima hari lalu dan kebanyakan mereka adalah dari pulau-pulau berhampiran," kata pegawai tersebut yang meminta namanya tidak disiarkan.
"Sesetengah daripada mereka sudah menjadi penduduk di Sabah untuk jangka masa yang panjang dan mereka biasanya menyeberangi sempadan tanpa sebarang masalah."
Bilangan pendatang haram Islam dari selatan Filipina yang miskin telah meningkat dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dan ia menimbulkan ketegangan sosial dengan penduduk asal beragama Kristian di Sabah.
Kerajaan Filipina telah menandatangani perjanjian damai dengan
pemberontak Islam lewat tahun lepas untuk menamatkan konflik selama 40 tahun di selatan negara itu, tetapi sesetengah puak telah menyuarakan bangkangan.
Sejak perjanjian damai yang ditaja oleh Malaysia itu, pengikut puak serpihan kumpulan Misuari telah memutuskan untuk mencetuskan beberapa masalah dan mewujudkan ketengangan di Sabah, kata seorang pegawai kanan Malaysia yang merujuk kepada puak dalam kumpulan pemberontak MNLF.
Pada tahun 2000, sebuah kumpulan militan dari selatan Filipina telah menculik 21 pelancong dari Sabah yang menyelam di kawasan peranginan Sipadan.
Pada tahun 1985, sebelas orang terbunuh apabila lelaki bersenjata yang dipercayai dari selatan Filipina, memasuki Lahad Datu di Sabah, menembak secara rawak sebelum merompak cawangan Standard Chartered Bank tempatan.
- Reuters
[Baca berita penuh]