Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN P Pinang syak majlis bersama PM disabotaj
Diterbitkan:  Feb 13, 2013 11:22 AM
Dikemaskini: Feb 14, 2013 12:15 AM

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow mengesyaki majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina anjuran parti itu, yang turut dihadiri perdana menteri pada hari Ahad lalu disabotaj pihak tertentu.

Teng dalam laporan akhbar Sinar Harian itu berkata demikian dengan merujuk kepada tindakan kumpulan tersebut, dalam majlis berkenaan, yang melaungkan "Tidak" apabila ditanya Datuk Seri Najib Razak sama ada sedia untuk memilih BN.

NONE "Saya percaya mereka dihantar untuk sabotaj rumah terbuka yang kita anjurkan ini dan kita dapati ada beberapa pengunjung yang hadir turut memakai baji seperti yang disarankan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Dalam ucapannya itu, Najib antara lainnya bertanya para pengunjung sama ada mereka bersedia untuk menyaksikan persembahan rap Korea Gangnam Psy.

Najib mengulangi soalan itu sebanyak empat kali dan para hadirin berkenaan menyahut "Ya" dengan bersemangat.

Sebahagian daripada mereka bagaimanapun menunjukkan reaksi berbeza apabila ditanya sama ada bersedia untuk "BN".

Kumpulan orang ramai di kawasan belakang padang tersebut menyahut "Tidak" dan tertawa .

NONE Mereka juga ketawa apabila Najib menyebut nama kolej Han Chiang dengan nama "Han Niang", ketika perdana menteri mengumumkan untuk menaiktaraf kolej tersebut kepada kolej universiti.

DAP seterusnya cuba memalukan BN sekali lagi dalam satu majlis rumah terbuka anjurannya dengan menyoal tetamu yang hadir sama ada mereka akan menyokong parti yang membentuk kerajaan pusat itu.

Ketua DAP negeri Chow Kon Yeow dalam ucapannya semalam bertanya demikian dengan merujuk kepada soalan sama yang diajukan perdana menteri itu.

Ditanya sekiranya mereka sedia untuk menyokong BN, hadirin dianggarkan seramai 3,000 orang di Times Square Pulau Pinang itu melaungkan jawapan "Tidak".

Ditanya lagi sama ada mereka bersedia untuk DAP dan Pakatan, kumpulan berkenaan menjawab "Ya".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS