Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam: Keluarga Sugumar cari pengganti Dr Pornthip

Peguam N Surendran berkata keluarga mendiang C Sugumar kini terpaksa mencari ahli patologi lain untuk menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang.

Naib presiden PKR itu berkata mereka berbuat demikian memandangkan ahli patologi Thailand Dr Pornthim Rajanasunad menolak permintaan mereka untuk menjalankan bedah siasat tersebut.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh Pornthip melalui satu kiriman emel hari ini.

"Kita akan dengan segera cari ahli patologi lain untuk jalankan bedah siasat kedua ini," kata Surendran ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, undang-undang sedia ada menetapkan bedah siasat mayat hanya boleh dijalankan di hospital kerajaan.

Justeru, mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan ahli patologi tempatan dari hospital swasta untuk meneruskan bedah siasat itu, katanya.

Oleh yang demikian, keluarga Sugumar mungkin akan mendapatkan kepakaran dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi melakukan bedah siasat kedua itu.

Tambahnya, bedah siasat kedua itu tetap akan diteruskan kerana polis telah memberi kebenaran sebelum ini.

"Walau apa pun terjadi, walaupun Dr Pornthip tak dapat hadir, kita akan teruskan perjuangan untuk tegakkan keadilan buat Sugumar," kata Surendran yang juga merupakan naib presiden PKR.

Sugumar, 40 tahun, mati dalam keadaan bergari pada 23 Januari lalu di Hulu Langat dengan mukanya dilumur kunyit.

Polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai kematian mengejut tetapi ahli keluarga Sugumar menggesa kematian beliau disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS