Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoal mengapa majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran BN di Pulau Pinang "mahu dicemari dengan unsur-unsur politik yang tidak ada kena mengena dengan tujuan ia diadakan".

Sebaliknya, katanya, majlis tersebut bertujuan baik untuk meraikan perayaan yang sangat bermakna khususnya di kalangan orang Cina.

"Kita tidak pernah halang apa-apa (yang Pakatan) nak buat majlis. Bila kita nak buat majlis, dia nak buat macam-macam halangan seperti nak turun poster 1Malaysia. Gambar saya pun diturunkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara petang ini.

Menjawab soalan, Najib yang juga presiden Umno turut menyindir DAP yang mengikut ala Gagnam Style dalam lagu "Ubah Gagnam Style".

"Tapi bila kita buat, dia tuduh kita macam-macam. Sebenarnya niat di hati dia nak jemput Psy itu untuk ada dalam majlis atas nama Pakatan.

"Tapi Psy ada dalam majlis kita, jadi rosak program dia. Itu cerita sebenarnya," sindir Najib yang berseloroh, disambut dengan gelak ketawa hadirin.

BN Pulau Pinang akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di negeri itu pada 11 Februari dengan menjemput penyanyi tersohor Korea Selatan Psy.

Hal tersebut menimbulkan pelbagai reaksi termasuk dari Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang meminta rakyat hadir memakai baju kuning, oren, merah dan hijau.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen menghangatkan suhunya, apabila berhasrat untuk menari dengan penyanyi itu jika berpeluang berbuat demikian.

Menjawab soalan, Najib yang juga pengerusi BN, berkata parti itu tidak pernah merosakkan majlis Pakatan.

"Dia nak buat majlis, buatlah. Apa pasal nak rosakkan majlis kita," katanya sambil mendakwa berasa pelik dengan tindakan Pakatan, sedangkan sebelum ini BN pernah membuat banyak majlis di negeri itu.

Sementara itu, wartawan Malaysiakin i tidak dibenarkan membuat liputan sidang khabar perdana menteri hari ini. Bagaimanapun, Malaysiakini mendapatkan rakaman audio sidang media tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS