Perdana Menteri berharap pembangkang menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan tidak mencari alasan untuk menimbulkan huru-hara sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembangkang seharusnya menghormati keputusan rakyat kerana ia adalah satu daripada prinsip penting dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.
"Kita mesti terima apa jua keputusan rakyat, kalau dia (pembangkang) percaya pada demokrasi, dia tidak boleh menolak sesuatu yang diputuskan oleh rakyat.
"Kalau kita menyanjung prinsip demokrasi berparlimen, itulah hakikatnya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibunegara hari ini.
Najib berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat agar memandang serius ancaman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan Kuala Lumpur seperti Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir sekiranya hasrat beliau menjadi perdana menteri tidak kesampaian pada pilihan raya umum nanti.
Najib berkata sekiranya pembangkang tidak menghormati undang-undang, ia akan mewujudkan satu keadaan yang menolak "rule of law" atau kedaulatan undang-undang dan kesannya adalah buruk kepada negara.
"Menghormati undang-undang adalah prinsip asas dalam negara, perjalanan demokrasi menuntut kepada kita menghormati undang-undang negara," katanya.
Katanya beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkemampuan untuk memastikan pilihan raya yang diadakan adil dan bersih.
- Bernama