Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin yakin BN boleh menang besar di Perlis

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencatat kemenangan besar di Perlis pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Beliau yang juga timbalan presiden Umno berkata keyakinan itu berdasarkan taklimat persiapan pilihan raya yang disampaikan BN Perlis kepadanya hari ini bahawa terdapat petanda sokongan rakyat yang meningkat terhadap kerajaan.

"Saya yakin semua kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (di Perlis) boleh menang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan rakyat 1Malaysia di Dewan Seri Melati, Beseri dekat Kangar hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang juga Pengerusi BN Perlis.

Pada pilihan raya umum 2008, Perlis memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen dan 13 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dua kerusi yang hilang ke tangan pembangkang ialah kawasan DUN Sanglang dan Simpang Empat.

Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Perlis berkata, sebagaimana keyakinan dan kepercayaan rakyat yang meningkat terhadap kerajaan BN di peringkat nasional, perkara yang sama juga berlaku di Perlis.

Muhyiddin berkata, keyakinan BN untuk memenangi kesemua kerusi juga berdasarkan rakyat mula menilai sejauh mana sumbangan pihak pembangkang kepada mereka termasuk janji-janji yang telah ditabur.

"Mungkin pembangkang tak beri apa-apa khidmat yang baik. Mereka tak ada kemampuan sebab hanya ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) biasa," katanya.

Beliau berkata, BN menyediakan peruntukan kepada wakil-wakil rakyatnya untuk digunakan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan sudah pasti rakyat juga menilai balik segala bantuan ikhlas yang telah diterima.

"Pembangkang (penyokong) juga dapat bantuan yang BN bagi. (Ini kerana) Kerajaan adil dan tak bezakan rakyat," katanya.

Selain itu, sikap parti pembangkang yang bergaduh sesama sendiri dan gagal menunaikan janji menjadikan parti-parti di bawah pakatan pembangkang menjadi rapuh dan goyah dan pada masa yang sama rakyat juga sedang menilai parti mana yang lebih baik.

Mengenai tahap persiapan pilihan raya BN Perlis, Muhyiddin berkata, masih ada ruang yang perlu diberi tumpuan kerana saiz Perlis yang kecil namun sokongan rakyat terhadap BN ternyata meningkat.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS