Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR: Anak Ramasamy didaftar sebuah parti politik
Diterbitkan:  Feb 6, 2013 6:52 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bahawa anak perempuan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, yang mendakwa namanya telah dimasukkan ke dalam daftar pemilih tanpa pengetahuannya, telah didaftarkan sebagai pengundi oleh sebuah parti politik.

Menurut laporan Berita Harian , Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu satu sidang akhbar di Kuching semalam bahawa anak Ramasamy - Sri Vaitheki, 25 - didaftarkan sebagai pengundi di Kampung Tanjung, DUN Semenyih dalam Parlimen Hulu Langat, menggunakan alamat di Semenyih pada 21 Februari 2011.

Pendaftaran itu dibuat melalui Borang A SPR dengan mengemukakan kad pengenalan beralamat di Selangor, dan borang telah diserahkan oleh sebuah parti politik, katanya.

Bagaimanapun, SPR masih belum mengetahui parti politik yang mana.

azlan Abdul Aziz menegaskan bahawa proses pendaftaran Sri Vaithek itu

dilakukan mengikut peraturan dan kad pengenalannya sah selepas semakan dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Kini SPR sedang cari Borang A berkenaan untuk dijadikan bukti. Kita bukan pandai-pandai meletakkan nama pemilih  di mana-mana tempat," katanya dalam laporan tersebut.

Anak perempuan Ramasamy itu kini seorang pelajar PhD di London.

Ramasamy mendapati Vaitheki didaftarkan sebagai pengundi tanpa pengetahuannya apabila surat kempen dari BN Selangor dihantar ke rumah keluarganya di Kajang, mengandungi butiran pengundiannya.

Bukan Vaitheki sahaja yang menjadi mangsa insiden seumpama itu.

Sebelum ini, Tiruchelvam Vallipuram, mengadu kepada Malaysiakini bahawa nama anak perempuannya terdapat daftar pemilih walaupun dia tidak pernah mendaftar sebagai pengundi.

Tiruchelvam mendapat tahu nama anak perempuannya terdapat dalam daftar apabila menerima kad Deepavali tahun lepas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang menandatangani selaku pengerusi BN Selangor.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS