Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mempertahankan syarat pemohon memiliki ijazah pertama dengan kepujian bagi pengambilan untuk jawatan leftenan muda.
Beliau berkata syarat baru yang berkuatkuasa Januari tahun ini adalah rasional dan bertujuan melatih pegawai ATM menjadi anggota tentera yang bertaraf dunia sejajar dengan hasratnya untuk melahirkan pegawai yang bukan sahaja disegani dari segi mental dan fizikal malah kecemerlangan akademik.
"ATM sering menyertai pelbagai misi di luar negara dan latihan ketenteraan bersama negara luar, jadi kecemerlangan pegawai ATM dari segi akademik memainkan peranan penting bagi mengharumkan nama ATM di kalangan tentera luar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zulkifeli berkata kecemerlangan pegawai ATM dari segi akademik secara langsung telah memenuhi hasrat angkatan itu sendiri bagi melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai nilai modal insan yang tinggi.
Sebelum ini Bernama melaporkan ATM telah menetapkan dua syarat baharu mulai tahun ini dalam mengambil pegawai dan anggota barunya.
Dua syarat baharu itu antara lain menyebut individu yang ingin menyertai pengambilan pegawai muda hendaklah mempunyai ijazah pertama dengan kepujian dalam mana-mana bidang, manakala bagi pengambilan ke jawatan lain-lain pangkat perlu lulus Sijil Peperiksaan Malaysia.
Dua syarat itu mengundang pelbagai respons daripada orang ramai yang beranggapan ia terlalu sukar untuk dipenuhi anak muda masa kini.
- Bernama