Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rocky Bru: Senarai kebebasan akhbar dibuat tanpa 'kerja rumah' teliti

Bekas editor eksekutif Malay Mail, Datuk Ahiruddin Atan mempertahankan tahap kebebasan akhbar di Malaysia dan berpendapat kemerosotan negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar sedunia menunjukkan senarai itu diterbitkan tanpa 'kerja rumah' yang teliti.

Beliau yang lebih dikenali sebagai penulis blog Rocky Bru berkata, kedudukan Malaysia pada tangga 145 daripada 179 negara tidak mencerminkan kebebasan media Malaysia yang kini berada pada kedudukan terbaik.

Jelasnya, perkembangan media baru seperti portal berita dalam talian serta penghapusan undang-undang yang menekan kebebasan media adalah bukti jelas akan perkara itu.

"Kita kini mempunyai polisi paling liberal daripada segi (liputan) berita. Kita sudah menghasilkan portal berita yang besar seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

"(Perdana Menteri) Najib juga menghapuskan banyak undang-undang drakonian dan menindas, jadi saya tertanya-tanya jika mereka di RSF gagal mengambil kira perkara ini

"Saya fikir mereka di RSF tidak buat 'kerja rumah' apabila melibatkan negara kecil seperti kita," katanya yang kini menjadi penasihat portal Mole.my

Selain itu, perbandingan kedudukan di antara negara-negara serantau dengan Malaysia juga akan menimbulkan keraguan terhadap ketepatan senarai tersebut.

Menurutnya, Indonesia dan India dikenali dan gah dengan kebebasan akhbar mereka tetapi kedudukan mereka tidak jauh daripada Malaysia dalam senarai itu.

Dalam laporan itu Indonesia berada anak tangga ke-146, naik tujuh anak tangga sementara India berada pada kedudukan ke-140.

Sementara itu, Pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah bagaimana pun berpendapat penurunan tersebut adalah cerminan tepat terhadap tahap kebebasan akhbar di Malaysia.

"Pada tahun 2012, walaupun terdapat pindaan kepada Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar, perubahan kosmetik itu tidak mampu mengatasi serangan terhadap kebebasan media dalam sudut yang lain.

"Lebih 12 wartawan diganggu, diugut, diserang, ditangkap dan peralatan mereka dirosakkan atau dirampas tanpa dikembalikan.

"Dua anggota pasukan beruniform dibebaskan daripada tuduhan sementara yang lain langsung tidak didakwa, budaya bebas daripada hukuman ini amat merisaukan," katanya dalam satu kenyataan.

Masjaliza menggesa agar "media yang dimiliki BN agar berubah dan tidak menerbitkan pendapat yang hanya mencerminkan pandangan parti pemerintah".

"Mereka perlu berubah untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapat berita yang tepat dan segera - terutamanya apabila pilihan raya semakin hampir - jika tidak mahu dianggap sebagai sumber berita yang tidak boleh dipercayai," katanya.

Ahiruddin pula menggesa agar editor dan wartawan terus bersatu bagi memperbaiki tahap kebebasan akhbar.

"Wartawan perlu bersatu. Kita perlu ketepikan kecenderungan politik kita membebaskan diri kita bukan sahaja daripada pengaruh kerajaan, tetapi juga membebaskan diri kita daripada prasangka dan berat sebelah (bias) terhadap kerajaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS