Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menuntut penjelasan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung surat yang didakwa mengarahkan untuk menghantar kad pengenalan yang tidak dituntut ke Sabah.

"Saya bimbang kad pengenalan yang mereka kata hendak dilupuskan ini diberi kepada warga asing yang akan membenarkan mereka mengundi pada pilihan raya," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

NONE Beliau mendakwa beliau dimaklumkan mengenai perkara itu melalui satu surat arahan yang didakwa dikeluarkan pengarah bahagian kad pengenalan JPN kepada semua pengarah negeri dan daerah di seluruh negara.

Beliau mendakwa surat bertarikh 14 Disember itu mengarahkan agar kad pengenalan serta Mykid yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan dihantar melalui pos ke Keningau, Sabah.

Mahfuz mendakwa beliau menerima surat tersebut melalui kiriman pos daripada individu tak dikenali.

Mahfuz yang membacakan kandungan surat berkenaan berkata, kad pengenalan dan Mykid tersebut diarahkan untuk dihantar ke situ kerana juruaudit terbabit didakwa berada di lokasi tersebut untuk mengemaskini status dokumen berkenaan.

Dalam sidang medianya hari ini, Mahfuz juga mendakwa surat berkenaan juga menyebut bahawa dokumen berkenaan seterusnya akan dihantar ke JPN Putrajaya.

"Saya nak tahu sejauh mana (kebenaran surat) dan berapa jumlah kad pengenalan yang tidak dituntut ini. Kerajaan perlu umumkan kerana mereka sudah pun kumpul (kad pengenalan dan Mykid).

"Saya juga nak minta penjelasan bila dan di mana ia dilupuskan," kata MP Pokok Sena itu lagi.

Katanya, kandungan surat tersebut mengarahkan supaya kad pengenalan dan Mykid di hantar ke sebuah alamat yang meragukan.

"Adakah ini alamat pejabat pendaftaran negara di daerah Keningau? Saya minta penjelasan. Kerajaan kena umumkan kerana benda ini sangat meragukan

"Saya tak tahu sejauh mana kebenaran surat ini tapi surat ini sampai kepada saya," katanya.

Dalam sidang media sama, Mahfuz juga meminta agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing di adakan di seluruh negara.

Jelas Mahfuz, isu pendatang asing dan pemberian kad pengenalan bukan sahaja berlaku di Sabah tetapi di seluruh negara.

"Dulu saya pernah dedahkan pada April 2012. Orang anggap ini tak serius. Tapi hari ini, apa yang diperakui RCI ialah apa yang saya dedahkan. Bukan sahaja berlaku di Sabah tapi di Semenanjung juga.

"Daftar pemilih di Semenanjung juga diragui kesahihan mereka. Sebab itu kita tuntut, RCI bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara," katanya.

Mahfuz pada pada 24 April lalu Mahfuz menyerahkan nama lebih 175,000 pengundi yang diragui kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad.

Menurut Mahfuz, senarai itu mengandungi nama pengundi dengan kod kelahiran dengan "angka-angka pelik" dalam kad pengenalan.

Selain itu, ia juga melibatkan pengundi dengan kod kelahiran 71 (kelahiran luar negara) dalam kad pengenalan tetapi bukan berbangsa Melayu, Cina, India atau lain-lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS