Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan kerajaan Selangor dan Menteri Besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengetepikan saman yang difailkan 2,020 ibu tunggal di negeri itu.
Saman itu adalah berhubung kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.
Hakim Datuk Yaacob Md Sam memutuskan sedemikian selepas mendapati plaintif mempunyai asas untuk membuat tuntutan itu.
Mahkamah memerintahkan defendan untuk memfailkan pembelaan dalam tempoh 30 hari sebelum menetapkan tarikh perbicaraan. Plantif diwakili oleh peguam Kamarudin Ahmad.
Dalam saman itu, kesemua plaintif mendakwa defendan pertama berjanji kepada rakyat Selangor termasuk plaintif untuk memberi elaun kepada ibu tunggal sekiranya defendan pertama memenangi pilihan raya umum 2008.
Mereka berkata berdasarkan manifesto defendan pertama itu, setiap ibu tunggal di Selangor layak menerima elaun daripada defendan pertama.
Plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto defendan pertama sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup plaintif melalui elaun yang dijanjikan kepada ibu tunggal tetapi sehingga kini kerajaan negeri gagal mewujudkan satu skim untuk membayar elaun kepada ibu tunggal, kata mereka.
Bagaimanapun pada 12 Disember tahun lepas, defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan ibu tunggal berkenaan atas alasan antaranya, tuntutan plaintif berdasarkan manifesto yang tidak boleh dikuatkuasakan kerana tidak diiktiraf dalam undang-undang.
Defendan juga mendakwa plaintif menyaman pihak yang salah kerana PAS, DAP dan PKR bukan kerajaan negeri Selangor semasa manifesto kononnya dibuat pada tempoh kempen pilihan raya umum 2008.
Pada 12 Disember tahun lepas, sebanyak 3,011 ibu tunggal turut memfailkan tuntutan sama terhadap kerajaan negeri Selangor dan Abdul Khalid dengan menuntut tunggakan elaun ibu tunggal kira-kira RM16.26 juta.
- Bernama