Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan ibu bapa menarik perhatian umum apabila tampil ke sekolah petang semalam untuk menerima bantuan persekolahan RM100 dengan memakai baju berwarna kuning sempena perhimpunan BERSIH 3.0.

Tindakan sekumpulan 15 ibu bapa pelajar itu turut menjadi buah mulut di laman sosial hari ini apabila gambar mereka dengan pakaian berkenaan dimuatkan oleh pengguna.

NONE Seorang daripadanya Wong Chai Soon ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata, beliau bertindak demikian untuk menyatakan bahawa mereka bukan menerima bantuan itu dengan senang hati.

"Sebenarnya saya memakai baju BERSIH untuk menarik perhatian pihak berkuasa bahawa (apakah) dengan pemberian wang ini membuatkan kita perlu tunduk, bersetuju dan senang hati.

 

"Sebaliknya, saya menerimanya dengan hati risau dan memikirkan mengenai keadaan negara kita pada masa akan datang," kata Wong Chai Soon yang menerima bantuan tersebut di SMJK(C) Chan di Seremban semalam.

Wong, 45, berkata sekumpulan ibu bapa lain turut memakai baju kuning pada majlis tersebut.

 

"Saya hanya menerima SMS. Ini inisiatif daripada kawan. Saya hanya terima SMS dan majukan kepada kawan lain. Kawan di pejabat saya pun saya suruh pakai baju kuning. Saya sendiri pakai baju BERSIH," katanya.

 

NONE Ditanya mengenai reaksi ibu bapa dan guru sewaktu kumpulan mereka memakai baju tersebut, Wong yang bekerja sebagai jurulatih kursus kewangan berkata para guru berkenaan menunjukkan reaksi "biasa dan tidak marah".

 

"Ada yang pandang-pandang, ada yang tegur-tegur. Yang mana saya kenal, mereka bersetuju. Guru bersikap biasa sahaja. Mungkin mereka penat layan orang... Mereka biasa sahaja," katanya.

 

Sekumpulan ibu pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai 'BERSIH Mama' mempromosi tindakan itu melalui satu kenyataan kepada media semalam.

Mereka menggesa para ibu bapa menggunakan kesempatan ketika menerima wang bantuan tersebut untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Pada masa ini, apa yang paling diperlukan rakyat di negara ini bukanlah bantuan kewangan RM100, RM250 atau RM500.

"Jika negara ini tiada pilihan raya bersih dan adil, tujuan sebenar pilihan raya tidak akan dicapai dan negara ini tidak akan menjadi benar-benar demokratik untuk memilih wakil yang diingini rakyat," kenyataan itu dipetik.

Bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada ibu bapa merupakan peruntukan yang diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS