Polis menafikan dakwaan berlaku kekerasan terhadap seorang tahanan yang ditemui mati dalam lokap Balai Polis USJ8, Subang Jaya dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata Chang Chin Te, 30, ditahan 10 Januari lepas bersama tiga rakannya kerana disyaki anggota geng samun bersenjata api, ditemui tertiarap dan mulutnya berbuih semasa pemeriksaan polis pada 8.05 pagi 14 Januari lepas.
"Pihak polis terus menghubungi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan koroner serta forensik yang memeriksa suspek kemudian mengesahkan kematiannya," kata Yahaya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya bedah siasat mendapati suspek yang berasal dari Kampung Subang, Shah Alam tidak mengalami kecederaan fizikal.
Yahaya berkata semalam isteri suspek membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh pada 7.47 malam kerana tidak berpuas hati dengan kematian suaminya.
"Isteri suspek dalam laporannya mendakwa terdapat kesan luka pada mayat suaminya iaitu di tangan dan kaki. Sehubungan itu itu pihak kami telah menubuhkan sebuah pasukan untuk menjalankan siasatan lebih lanjut.
"Kami tidak menggunakan sebarang kekerasan ketika suspek berada dalam lokap dan berjanji akan membuat siasatan secara terperinci. Kami juga berharap perkara ini tidak dipolitikkan kerana suspek mati dalam lokap," katanya.
Pada 10 Januari lepas, polis menahan empat suspek berumur 19 hingga 36 tahun itu di sekitar Subang Jaya di sini hasil maklumat orang ramai dan risikan polis.
"Supek pertama ditahan pukul 3.30 petang selepas polis menyerbu sebuah hotel di USJ 1 dan menemui tiga kunci kereta berjenama Nissan, satu plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 1.3 gram, dua buah telefon bimbit serta resit hotel di dalam beg sandang lelaki itu," katanya.
Yahaya berkata susulan itu, pada hari sama, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan di USJ 3 dan berjaya menahan tiga lagi lelaki dan merampas 21 buah beg dan dompet, sebilah pedang samurai, tujuh telefon bimbit beserta kad sim dan dua kad kereta serta sebuah kereta Proton Saga menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Reman kesemua suspek yang tamat semalam disambung sehingga Jumaat ini, katanya.
-Bernama