Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muzium diraja di Kuala Pilah buat pameran buaya

Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Jabatan Muzium akan mengadakan Pameran Buaya di Muzium DiRaja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah selama seminggu mulai Isnin ini.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Drs Shamsuddin Ahmad berkata  pameran diadakan dari 9 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

"Pameran ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan ke-65 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir," katanya kepada Bernama di Seremban, hari ini.

Katanya antara jenis buaya dipamerkan ialah buaya tembaga, buaya Siam (putih), tengkorak buaya, buaya Puchong, anak buaya, replika telur 22 biji telur buaya dan biawak air.

"Paling menarik lagi orang ramai berpeluang melihat replika buaya milik Tuanku Muhriz di mana ia telah dipulihara oleh Jabatan Muzium. Buaya ini adalah spesimen yang pernah menghuni sungai di Seri Menanti pada suatu ketika dahulu," katanya.

Sempena pameran itu, turut diadakan jualan buku terbitan Lembaga Muzium Negeri Sembilan, pertandingan kuiz dan ceramah mengenai buaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS