Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat yang mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini gembira dengan jaminan polis untuk berperanan sebagai pemudahcara dalam pada perhimpunan pada 12 Januari di ibu negara.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata Ismail dalam mesyuarat berkenaan turut menyatakan kesediaan untuk menjadikan perhimpunan pada hari tersebut sebagai "detik bersejarah" selepas "belajar daripada kekurangan" yang berlaku semasa perhimpunan sebelum ini.
"Tan Sri Ketua Polis Negara sebut peranan polis sebagai fasilitator. Hubungan polis dan wartawan pada perhimpunan itu, mereka akan menyediakan marsyal untuk memandu petugas media berdasarkan (peruntukan) seksyen Akta Perhimpunan Aman.
"Adalah menjadi tanggungjawab semua supaya tertib dan kami ingatkan mereka yang hadir datang dalam suasana mood festival, bagi membantu menjamin kelangsungan perhimpunan," katanya.
"IGP mahu menjadi (perhimpunan ini) sebagai saat bersejarah, iaitu belajar daripada kekurangan yang terdahulu. Mereka berhasrat untuk memberi khidmat yang terbaik, untuk memastikan semua hak mengikut undang-undang dan perlu dihormati," kata Saifuddin.
Mengulas lanjut, Saifuddin juga berkata Ismail turut memberi jaminan bahawa tiada anggota yang terkecuali daripada mengenakan pakaian seragam lengkap dengan tanda nama dan nombor badan polis.
"Beliau berdiri dan tunjuk uniform lengkap yang dipakainya berserta dengan tanda nama," kata Saifuddin.
MP parlimen Machang itu berkata perkara tersebut dibangkitkan oleh seorang anggota jawatankuasa pemandu BERSIH, Maria Chin yang tidak mahu insiden semasa perhimpunan BERSIH 3.0 berulang.
Saifuddin berkata demikian selepas delegasi penganjur himpunan seramai 11 orang yang diketuai Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, bertemu dengan Ismail di Bukit Aman pada kira-kira jam 2.30 petang ini.
Sementara itu, Mohamad pula ketika ditemui pemberita berkata pertemuan dengan Ismail berjalan dengan baik dan mereka saling bertukar pandangan dan cadangan.
Polis turut memohon kerjasama penganjur dan orang ramai memastikan perhimpunan itu berlangsung dengan aman dan damai, katanya.
"Mereka juga berazam untuk menjadikan perhimpunan ini sebagai satu rekod iaitu perhimpunan paling aman sebelum pilihan raya berlangsung.
"IGP mahu perhimpunan itu (menjadi) satu sejarah apabila polis mahu menggunakan Akta Perhimpunan Aman," katanya mengulas pertemuan selama kira-kira sejam itu.