Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat "sanggup menerima pertolongan syaitan untuk kerajaan Islamnya".
Mahathir mendakwa demikian dalam tulisannya yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia hari ini sewaktu menjelaskan pepatah berbahasa Inggeris yang digunakannya dalam satu kenyataan sebelum ini.
Mahathir sebelum ini mencetus kontroversi melalui apabila kenyataannya itu difahami oleh timbalan mursyidul am PAS Datuk Dr Haron Din sebagai bermaksud beliau sanggup bersama syaitan.
Mahathir menjelaskan, pepatah bahasa Inggeris yang berbunyi "better the devil you know than the angel you don't" itu sepatutnya bermaksud "lebih baik orang yang dikenali daripada orang
yang tidak dikenali".
"Mungkin kerana Haron Din tidak mahir dengan loghat pepatah Inggeris maka ia fikir ini bermakna saya sanggup bersama syaitan.
"Tetapi pada 24 Januari 1999, Nik Aziz berkata dengan jelas dalam bahasa Melayu yang saya yakin Haron Din tentu faham ia berbunyi seperti berikut:
'Siapa yang nak tolong kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA atau MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong Pas saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun saya terima.'
"Amat jelas Nik Aziz sanggup terima pertolongan syaitan pun untuk kerajaan Islamnya.
"Apakah jenis kerajaan Islam hasil pertolongan syaitan, sama-samalah kita fikir," kata Mahathir dalam rencana yang disiarkan akhbar milik Umno itu.
Menurut Mahathir, umat Islam di negara ini bernasib baik kerana semuanya bersatu apabila berpegang kepada mazhab Sunni dengan
berimamkan Imam Shafie.
Namun katanya, perpaduan itu tamat apabila PAS ditubuhkan sebagai sebuah parti.
"Dalam keghairahan PAS untuk mendapat undi orang Melayu di Malaysia, mereka sengaja menyalah tafsir agama Islam dan membuat dakwaan bahawa mereka sahaja yang Islam sehingga orang Melayu berpecah dan bermusuh sesama mereka," katanya.
Tambahnya, PAS sepatutnya menyedari hakikat bahawa "perlembagaan penjajah" yang disebutkan Hadi dalam amanatnya itu juga adalah perlembagaan sama yang memberikan PAS kebebasan bersuara, berparti, dan berpolitik.
Dalam tulisan yang sama, Mahathir memuji mereka yang meninggalkan PAS "untuk berjuang untuk agama Islam".
"Mereka yang keluar dari PAS ini berpeluang untuk benar-benar berjuang untuk agama Islam, berjuang untuk mengembangkan agama Islam yang sebenar, terutamanya untuk persaudaraan dalam Islam, tentang berpegang kepada tali Allah dan jangan bercerai-berai," tulisnya.