Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LTAT: Pembelian Astacanggih, tanah berasas pertimbangan komersil

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berpendapat pembelian 80 peratus syarikat Astacanggih Sdn Bhd dan tanah di Bukit Raja merupakan tindakan korporat Boustead Holdings Bhd (Boustead) yang berasaskan pertimbangan komersil.      

    

Pengerusinya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata tindakan tersebut adalah untuk menambah bank tanah Boustead dan memberi keuntungan kepada Boustead dalam jangka masa panjang.  

    

Mohd Anwar berkata LTAT tidak terlibat dalam pembelian saham berkenaan walaupun LTAT memegang 60 peratus saham Boustead.           

"Boustead telah menggunakan keuntungan daripada projek pembangunan hartanahnya untuk membiayai pembelian saham 80 peratus Astacanggih.  

    

"Astacanggih pada masa ini tidak mempunyai sebarang pinjaman bank, akan membuat pinjaman untuk membiayai pembelian dan menjalankan kerja-kerja pembangunan tanah di Bukit Raja," katanya.

    

LTAT, kata Mohd Anwar, akan memantau rapi semua pelaburannya, termasuk pelaburan dalam Boustead untuk memastikan pelaburannya memberi keuntungan yang sebaik-baiknya untuk pencarum LTAT iaitu anggota ATM.

    

"LTAT menaruh penuh kepercayaan yang projek pembangunan tanah ini akan mencapai kejayaan seperti projek-projek pembangunan tanah Boustead yang lain di samping menyediakan rumah mampu milik untuk dibeli oleh anggota ATM," katanya lagi.

    

Pada 27 Disember 2012, Boustead mengumumkan anak syarikat milik penuhnya Bakti Wira Development Sdn Bhd mengambil alih 80 peratus kepentingan dalam Astacanggih.

    

Pengambilalihan itu merupakan proses korporat untuk menguasai 80 peratus kepentingan dalam 80.9371 hektar tanah pembangunan di Bukit Raja membabitkan sebanyak RM160 juta atau RM18.37 sekaki persegi.

    

- Bernama

ADS