Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pembangkang anjur demo untuk tarik perhatian'

Tindakan pembangkang menganjurkan demonstrasi adalah untuk menarik perhatian masyarakat demi kerjaya politik mereka, kata Ketua Perhubungan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Katanya puak terbabit juga tidak mengutamakan keselamatan negara, sebaliknya lebih mementingkan faedah politik mereka apabila mensensasikan sesuatu isu menerusi ceramah dan demonstrasi.

"Demonstrasi haram, mogok, perhimpunan, bantahan, protes dan sebagainya, secara langsung menggalakkan rakyat bersikap kurang ajar dan tidak menghormati undang-undang dan persoalannya mengapa pembangkang gemar menganjurkannya? Ia untuk menarik perhatian orang ramai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas penganjuran mogok lapar yang disertai penyokong pembangkang di Dataran Merdeka di ibu negara, ketika sambutan ambang tahun baru 2013.

Mogok lapar itu dianjur sekumpulan individu yang dipercayai penyokong pembangkang, bagi membantah kilang memproses nadir bumi milik Lynas di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu Fakhrul Azman Abu Bakar berkata demonstrasi haram dan memburuk-burukkan pemerintah adalah antara strategi pembangkang berdasarkan pengalamannya bersama PKR dulu.

"Amalan yang dibawa pembangkang ini adalah merbahaya kerana mereka memperalatkan orang ramai selain cuba menutup kelemahan dalam parti dan buktinya sekarang ramai anggota pembangkang yang keluar parti kerana kepincangan dalam pakatan pembangkang sendiri," kata Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu itu.

Fakhrul yang juga pengerusi Biro Antarabangsa Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia, berkata pembangkang seharusnya mencontohi negara maju apabila pihak kerajaan dan pembangkang bersama-sama berganding bahu membangunkan negara dan bukan sentiasa memburukkan-burukan pemerintah.

Beliau juga berpandangan pakatan pembangkang tidak mampu mentadbir sebuah negara kerana sentiasa bertelagah sesama sendiri yang menunjukkan kelemahan mereka dalam berkongsi kuasa kerana ideologi politik berbeza.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS