Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bandar Kuantan lumpuh dilanda banjir kilat
Diterbitkan:  Dec 24, 2012 5:49 PM
Dikemaskini: Dec 26, 2012 12:01 AM

Beberapa kawasan di sekitar bandar Kuantan hari ini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak malam semalam.

Kejadian itu juga menyebabkan beberapa jalan utama di pusat bandar mengalami kesesakan lalulintas setelah jalan raya dinaiki air sedalam 1.5 meter.

    

NONE Antara jalan yang ditenggelami air setakat pukul 3 petang ini ialah Jalan Tun Ismail Satu, Jalan Beserah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Abd Aziz, Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Air Putih, Jalan Pasar dan Terminal Makmur.

    

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan sekitar pusat bandar mendapati banyak kenderaan yang terkandas di jalan raya dan beberapa premis serta pusat beli-belah utama terpaksa menutup perniagaan akibat situasi yang tidak terduga itu.

    

Di kawasan Air Putih dan Semambu, orang ramai mula meninggalkan rumah masing-masing seawal pukul 10 pagi dan menyelamatkan barangan keperluan utama setelah paras air sebatang anak sungai di Kuantan melimpah dan naik sehingga 1 meter.

NONE Tinjauan juga mendapati beberapa taman perumahan iaitu di Sungai Isap, Taman LKNP, Bukit Setongkol, Taman Perumahan Transit Quarters dan Taman Teratai turut ditenggelami air antara 0.1 meter dan satu meter.

    

Sementara itu di Jerantut, polis menasihati 10,000 penduduk yang tinggal di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang di daerah itu supaya berpindah segera jika paras air kedua-dua sungai naik.

    

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan setiap petang sejak tiga hari lalu boleh menyebabkan air Sungai Tembeling dan Sungai Pahang naik bila-bila masa.

    

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau turut menasihati 50 pengusaha bot pelancong ke Taman Negara supaya menghentikan segera perkhidmatan jika paras air Sungai Tembeling naik.

    

NONE Ini, katanya sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi mengutamakan

keselamatan penumpang.

Sementara itu, Kuantan hari ini lumpuh akibat banjir teruk yang disifatkan penduduknya paling teruk sejak empat dekad lalu.

Ia dilaporkan bermula sebelum tengah hari tadi selepas hujan selama lebih 10 jam. China Press menyifatkannya sebagai banjir paling teruk melanda Kuantan sejak 1971.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pahang, 14 simpang jalan utama di Kuantan ditenggelami air setinggi kira-kira 1 meter pada jam 11 pagi tadi.

"Operasi menyelamat masih lagi berlangsung," kata seorang petugas di pusat kawalan itu sambil menambah air telah mula surut secara perlahan-lahan.

Menurutnya, petugas-petugas banjir sedang memantau paras air di Sungai Galing dan Sungai Isap dan kenyataan rasmi mengenai perkembangan terkini bencana itu bakal diketahui jam 8 malam nanti.

Beribu-ribu orang dipercayai terjejas akibat banjir tersebut dan gambar-gambar kenderaan tersadai akibat banjir itu sudah mula dikongsi dengan pantas di laman media sosial.

Seorang penduduk Kuantan, Hasnul Hisham memberitahu Malaysiakini bahawa Jalan Beserah adalah paling teruk terkesan akibat banjir itu.

"Air Sungai Galing melimpah keluar dan tembok penahan di Sekolah Kebangsaan Galing juga telah pecah," kata Hasnul.
 
 

 

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS