Aktivis pelajar yang membantah hukuman penjara ke atas seorang rakan pelajar mereka yang menyertai perkemahan protes anti-PTPTN April lepas, kembali menduduki semula Dataran Merdeka pagi ini.
Kira-kira 10 daripada mereka tiba di tempat tarikan pelancong di ibunegara itu, dan duduk di satu sudut dataran awam tersebut, berhadapan dengan bangunan bekas mahkamah Kuala Lumpur.
Mereka tiba awal pagi ini selepas berkemah di Penjara Kajang, di mana rakan mereka, Umar Mohd Azmi sedang menjalani hukuman sebulan penjara kerana menghalang pegawai DBKL semasa bantahan awal mereka.
Menurut jurucakap mereka, lebih ramai dijangka tiba tidak lama lagi, dan kumpulan itu merancang berada di situ sehingga pagi esok apabila rayuan Umar terhadap sabitan dan hukuman penjara terhadapnya, didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mereka tiba dan berhimpun secara aman di situ. Hanya kelihatan seorang anggota penguatkuasa DBKL yang beruniform di situ pada sekitar jam 11.08 pagi, yang bertanya tujuan perhimpunan mereka di dataran tersebut.
"Saya seorang rakyat Malaysia, saya di sini untuk melawat Dataran Merdeka.
"Jangan beritahu saya ia tidak dibenarkan. Lagipun terdapat ramai pelancong di sini juga?" jawab jurucakap kumpulan itu, Saffuan Anang.
Pegawai DBKL itu bertanyakan tentang sebab sebenar mereka berada di sana.
Saffuan memaklumkannya tentang rancangan mereka.
Pegawai itu kemudiannya bertanya siapakah ketua atau jurucakap kumpulan itu dan memberitahu dia akan memaklumkan kepada pejabatnya dan akan kembali dengan jawapan mereka.
Sejurus kemudian, pegawai itu kembali semula dan memaklumkan kepada para pelajar tersebut bahawa mereka boleh berada di dataran awam itu, asalkan mereka mereka mendirikan kemah di situ.
Tujuh minit selepas tengah hari, seorang pegawai dari bahagian penguatkuasaan DBKL, yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Nasaruddin, mendekati pelajar dengan diapit oleh tiga anggota penguatkuasa beruniform.
Beliau berunding kira-kira sepuluh minit dengan pelajar terbabit, yang mengakui mereka tidak memohon kebenaran, tetapi meminta pertimbangan Nasaruddin.
Pegawai itu bersetuju membenarkan mereka berada di Dataran sehingga pagi esok tetapi meminta mereka jangan menggantung sebarang sepanduk atau mendirikan kemah.
Beliau juga menasihatkan pelajar tersebut supaya tidak mencetuskan sebarang situasi yang "tidak diingini".
Bercakap bagi pihak kumpulan pelajar itu, Safwan bersetuju mereka akan mematuhi peraturan tersebut.