Pada Rabu lalu KK Supermart Holdings Sdn Bhd dilaporkan memberitahu media bahawa ia telah berdepan dengan 134 kes jenayah dalam masa setahun - separuh daripadanya dirompak.
Mungkin perkara itu akan menjadi pengalaman yang menakutkan tetapi tidak bagi kakitangan kedai serbaneka KK
Supermart, Hasem Magrabali, dari Bangladesh yang mendakwa sudah berdepan dengan kejadian dirompak lebih daripada 10 kali.
"Sudah biasa. Saya tak takut. Buat apa nak takut. Satu hari kita akan mati juga," katanya yang sedang bertugas di kedai serbaneka tersebut di Jalan Besar, Serdang - antara yang sering menjadi sasaran rompakan.
"Saya pernah diletak pistol di kepala. Orang tunjuk parang. Tapi apa saya boleh buat. Saya bagi sajalah apa yang mereka mahu," kata Hasem ketika ditemui Malaysiakini semalam.
Dengan wajah yang tenang, Hasem, 29, memberitahu, sebagai pekerja warga asing, beliau tidak dapat membuat apa-apa melainkan menyerahkan wang apabila diminta oleh perompak.
Menurut Hasem yang sudah bekerja selama dua tahun di premis
tersebut, selain tidak melawan, beliau juga adakalanya hanya mampu untuk menasihati perompak yang sedang melakukan "kerja" tersebut.
"Saya pernah cakap dengan seorang perompak lelaki yang datang sini. Saya kata dengan dia, 'Malaysia ada banyak kerja. Kamu ada tangan, ada kaki. Apa pasal kamu ini macam'. Tetapi dia suruh jangan banyak cakap dan bagi wang.
"Kalau mereka mari, jangan hentam. Nanti dia kasi hentam sama kita. Jangan lawan. Saya orang dari Bangladesh, (kalau) saya mati nanti keluarga saya di sana nanti ada masalah... kalau tak kerja, tak ada duit nak kasi keluarga," kata Hasem sambil menundukkan mukanya yang jelas terpancar kebimbangan.
Sementara itu dalam kejadian berbeza, seorang pekerja yang baru pertama kali dirompak ketika bertugas di kedai serbaneka 24 jam tersebut, Hanifa Wirae masih terkejut dengan kejadian yang menimpanya dua hari lalu.