Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Utusan Malaysia perlu berubah jika mahu terus kekal relevan dengan suasana politik dan pasaran semasa, kata mantan ketua pengarang Bernama , Datuk Seri Azman Ujang.

Menurutnya, Utusan pernah dikenali sebagai akhbar yang "meniup semangat kemerdekaan tetapi zaman kini telah berubah".

Menurutnya, pendirian editorial Utusan yang membawakan agenda pro-Melayu tidak cocok dengan demografi Sabah dan Sarawak.

NONE Liputan akhbar itu terhadap kenyataan-kenyataan NGO pendesak Melayu, PERKASA yang menyinggung sensitiviti rakyat di Sabah Sarawak dan menjejaskan sokongan rakyat negeri itu terhadap Umno dan Barisan Nasional, katanya.

"Utusan gemar mainkan kalau ada Ibrahim Ali (dan sentimen) anti-Kristian dan sebagainya tanpa mengambil kira sentimen orang Kristian di Sabah Sarawak.

"Majoritinya masih lagi tugu kuat kepada Barisan Nasional - yang menyokong Umno dan Barisan Nasional," katanya.

"Akhbar seperti Utusan yang mirip kepada agenda Melayu - orang di Sabah Sarawak tidak begitu dapat menjiwai akhbar ini," katanya.

Akhbar itu juga menurutnya, dilihat tidak begitu lunak terhadap ahli-ahli politik pembangkang dalam pemberitaannya.

"Pada saya Utusan mempunyai toleransi yang agak rendah terhadap parti-parti pembangkang

"Ahli-ahli politik pembangkang, kita tak perlulah sebut nama mereka, dikritik hebat oleh Utusan," katanya sewaktu bercakap di forum 'Utusan: Kewartawanan Dahulu dan Kini' di Dewan Bahasa dan Pustaka semalam.

Pendirian itu, dakwanya turut menjadikan Utusan bukan pilihan utama pengiklan yang kebanyakannya mempunyai eksekutif pengiklanan bukan Melayu.

Krisis kredibiliti

Pemecatan mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 turut menjadi titik tolak penting dalam dasar beberapa akhbar yang akhirnya memberikan kesan kepada pengedaran mereka, kata Azman.

Tanpa merujuk secara langsung kepada Utusan, Azman menjelaskan sebahagian akhbar berkenaan mengalami krisis kredibiliti yang membawa kepada kemerosotan jualan.  

"Setelah mereka mengambil dasar berat sebelah, mereka banyak hilang (jumlah) edaran dan sampai sekarang tidak boleh pulih semula dan dilihat oleh khalayak sebagai hilang kredibiliti," katanya.

Seorang lagi ahli forum, pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Profesor Ahmad Murad Merican turut mengutarakan pendapat yang senada dengan Azman.

"Setiap ahli kewartawanan dan di sini Utusan, saya sudah sebutkan lebih kurang sepuluh tahun dulu, perlu berubah dalam konteks memperbaiki persembahan, hujah dan menerima kritikan," katanya.

Beliau turut menggesa Utusan agar menjadi akhbar nasional yang bukan sahaja mensasarkan orang Melayu tetapi juga orang bukan Melayu di Sabah dan Sarawak sebagai pembacanya.

Ahli panel ketiga, pengkritik filem Mansor Puteh pula secara umumnya menyeru agar pengamal media berwaspada dengan cubaan pihak Zionis untuk menguasai media.

Menurutnya, usaha itu tidak dilakukan melalui pemilikan saham sebaliknya melalui penyebaran elemen Zionisme yang dihidangkan sebagai budaya popular.

"Gosip Hollywood yang disiarkan setiap hari, dia (Zionis) tak paksa kita tapi kita jadi barua dia dengan rela hati beri empat muka surat dan kalau kita tak siar, kita rasa bodoh.

"Kalau kita tak siar filem Hollywood, kita rasa bodoh. Kalau kita tak sanjung Manchester United, kita rasa bebal," katanya.

Forum itu yang berlangsung di Dewan Seminar Hassan Ahmad dimudahcara Editor Bahagian Buku Am DBP, Padilah Ali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS