Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Henti khabar angin rusuhan di Kuala Muda

Polis Kedah memberi amaran keras agar khabar angin kononnya berlaku rusuhan di daerah Kuala Muda yang disebarkan menerusi laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS), dihentikan serta-merta.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata kira-kira pukul 9 hingga pukul 10 malam tadi, polis menerima banyak panggilan telefon berikutan tersebarnya khabar angin bahawa berlaku rusuhan kaum di daerah Kuala Muda.

    

"Kita ingin maklumkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa berita yang tersiar dalam Facebook, Twitter dan SMS itu tidak betul dan palsu, hakikatnya keadaan di Kuala Muda adalah aman dan tenteram. Tiada kematian atau kecederaan serius yang berlaku.

    

"Sehingga sekarang (sidang media) hanya ada beberapa insiden sahaja yang berlaku, bermula daripada insiden (pergaduan) pada awal pagi 16 Disember lalu (Ahad), yang mana hasil siasatan dan risikan yang kita kumpul mendapati insiden itu tiada kaitan dengan permusuhan atau kebencian," katanya dalam sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda lewat malam tadi.

    

Abdul Ghafar berkata kes yang berlaku pada awal pagi Ahad lalu itu adalah kes terpencil yang melibatkan kumpulan pemuda yang berlarutan kepada beberapa insiden lain yang dilakukan dengan tujuan membalas dendam terhadap insiden pertama.

"Ia kes isolated, berdasarkan siasatan ia berpunca daripada kegiatan lumba motor tetapi telah berlaku pergaduhan yang mana kedua-duanya memanggil kawan masing-masing, dan berlaku empat lagi insiden lain.

    

"Kes ini bukan berpunca daripada kebencian, ia tindakan yang dibuat oleh mereka yang kurang bijak. Bagaimanapun polis berjaya mengawal keadaan sehinggalah tersebarnya berita palsu yang boleh mencetuskan kemarahan," katanya.

    

Dalam pada itu, Abdul Ghafar turut meminta semua ketua kaum agar dapat memberi penerangan yang jelas berhubung perkara itu kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

    

"Tidak ada rusuhan berlaku, jadi saya minta ahli masyarakat agar jangan bertindak balas, jangan sebarkan berita palsu dan jangan menghasut sehingga terjadi pergaduhan yang lebih besar. Kepada semua kaum maklumkan kepada anak buah masing-masing agar jangan bertindak di luar batasan undang-undang.

    

"Mereka yang melakukan kesalahan pada insiden pertama sudah ditangkap dan akan disiasat berdasarkan kes yang berlaku," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS