Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Orang Melayu perlu memperkukuhkan pegangan agama Islam dan kedaulatan bahasa Melayu walaupun diasak pelbagai ancaman ketika ini, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau berkata agama perlu diletakkan sebagai garis panduan dan berjalan seiring dalam perjuangan memartabatkan hak orang Melayu.

Katanya isu seperti murtad, hak istimewa orang Melayu, raja-raja dan sebagainya tidak harus dilihat sebagai cubaan melunturkan kekuatan bangsa Melayu yang ada ketika ini.

"Lihatlah kembali kepada sejarah, walaupun (semasa) kita dijajah, orang Melayu tetap berpegang dengan pegangan agama... begitu juga dengan memperkasa bahasa, mempertahankan akidah, melaksanakan syariat Islam dan memperkukuhkan bahasa Melayu di kalangan setiap orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) ke-3 di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya pertahanan orang Melayu lahir daripada kekuatan agama Islam itu sendiri dan orang Melayu tidak seharusnya memencilkan aspek kerohanian tersebut dalam kehidupan mereka.

"Setiap hari kita baca di media cetak dan mendapat maklumat di media elektronik mengenai keadaan umat Islam yang begitu teruk dihina di bumi ini termasuk apa yang berlaku dalam negara kita," katanya.

Katanya golongan muda sering terdedah kepada ancaman pelbagai pihak untuk memesongkan akidah dan semangat cintakan bangsa mereka namun dengan pertahanan daripada segi pendidikan agama di akar umbi, teras pegangan agama akan terus tersemai dalam jati diri setiap orang Melayu.

Pada majlis itu, Harussani dianugerahi Bintang Tertinggi Pahlawan Perkasa iaitu Tokoh Agama Negarawan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam memartabatkan institusi keagamaan di negara ini.

Anugerah disampaikan oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS