Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata siri perhimpunan BERSIH dan isu radiasi nadir bumi daripada loji Lynas merupakan isu yang sengaja diada-adakan bagi menjejaskan kestabilan politik.
Katanya, keadaan seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan perkembangan ekonomi memerlukan keadaan politik yang stabil.
Namun ada sesetengah pihak yang mahu keadaan seperti di Dataran Tahrir, Mesir itu berlaku, katanya ketika menyampaikan ucaptama pada forum Masa Depan Tindakan Afirmatif di Putrajaya hari ini.
"Banyak di negara lain yang hampir setiap hari ada demonstrasi. Walaupun ada sesetengah orang suka melihat keadaan ini di negara kita.
"Jadi mereka mengadakan (perhimpunan) BERSIH walaupun tiada apa yang hendak diperjuangkan," katanya tanpa menamakan individu tertentu.
Katanya lagi, isu radiasi Lynas juga ditimbulkan untuk tujuan sama sedangkan bahan yang dikeluarkan loji berkenaan tidak seperti yang didakwa, katanya.
"Jadi mereka mengada-adakan (isu) Lynas. Mereka kata Lynas bahaya kepada manusia – (ini) adalah tidak masuk akal.
"Bahan loji itu – bateri ion litium yang digunakan di telefon dan diletakkan di telinga. Kalau ia bahaya kamu semua sudah tidak ada otak. Tapi mujur kamu masih ada," kata Mahathir lagi.