Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan hari ini tampil dengan dakwaan baru bahawa ketua setiausaha kementerian dalam negeri Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi turut campur tangan dalam hal ehwal polis.
Tanpa menamakan Abdul Rahim, Musa mendakwa setiausaha agung kementerian itu memberi arahan terus kepada pegawai polis tertentu, yang menurutnya menyebabkan pasukan itu keliru dalam mengikut arahan.
Musa mendakwa Abdul Rahim mengeluarkan arahan supaya pegawai polis berkenaan memberi laoran kepadanya.
Katanya lagi, pegawai berkenaan kemudiannya mengadu kepadanya kerana keliru.
Musa berkata demikian dalam satu sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya anjuran Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) - sebuah NGO yang dinaunginya.
Ketika ditanya, Musa berkata ketua setiausaha kementerian yang dimaksudkannya itu adalah yang sedang berkhidmat pada masa ini.
Musa pada bulan lalu mendakwa Hishammuddin campur tangan dalam urusan polis dan memberi arahan kepada pegawai polis bawahan dan seorang ketua polis daerah semasa perkhidmatan bekas ketua polis negara itu.
Musa berkata kerajaan tidak memberi sebarang maklum balas berhubung dakwaannya ke atas Hishammuddin, dan usaha MyWatch untuk bertemu ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar juga menurutnya tidak dilayan.