Kira-kira 100 orang mengayuh basikal menyertai acara 'Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0' yang dianjurkan oleh NGO Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) di Negeri Sembilan hari ini.
Majlis itu dilancarkan oleh Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim dan enam wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat di Pasar Besar Seremban pada jam 9.30 pagi ini.
Antara ADUN Pakatan yang hadir memberi sokongan ialah Chai Tong Chai (PKR-Chuah), Che Kee Chin (DAP-Bukit Kepayang), Mohamed Taufek Abd Ghani (PAS-Paroi) dan M Ravy (PKR-Port Dickson).
Acara itu bertujuan menuntut tujuh perkara antaranya pilihan raya bersih dan adil, gesaan supaya menghentikan pemusnahan alam sekitar, perumahan selesa untuk rakyat dan tuntutan supaya kerajaan menghentikan penswastaan perkhidmatan awam.
Selain itu, mereka juga menuntut supaya kerajaan melindungi hak dan kebajikan pekerja, hak untuk berhimpun secara aman, hak bersuara dan juga memansuhkan undang-undang yang didakwa zalim.
Peserta akan melalui 23 kawasan luar bandar dan ladang di tujuh daerah di negeri itu sebelum berakhir di Wisma Negeri untuk menyerahkan memorandum tuntutan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri, Anthony Loke.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Koordinator JERIT Negeri Sembilan P Nithiya berkata sepuluh lokasi yang menjadi laluan dan tumpuan peserta pada hari ini.
"Kami tiba di Lenggeng pada jam 10.30 pagi tadi. Kami disambut oleh PAS kawasan itu, dan turut menyajikan makanan untuk kami. Kami mengedar risalah mengenai tuntutan rakyat itu di semua tempat yang lalui," katanya.
Menurutnya lagi, peserta turut disambut penduduk Ladang Kerbi kira-kira jam 12 tengahari. Mereka turut meluangkan masa untuk mendengar keluhan dan tuntutan penduduk terbabit, antaranya menuntut supaya rumah, tanah dan kuil mereka di ladang itu dipelihara.
Mereka juga menuntut pampasan daripada Sime Darby kerana mendakwa diberhentikan kerja selepas tanaman getah ditukar kepada kelapa sawit.
"Sambutan rakyat cukup bagus. Mereka bertanya tentang acara kami dan kami juga menjelaskan tuntutan kami dan mengutip tandatangan untuk diserahkan bersama memorandum itu nanti," katanya.
Nithiya berkata pihaknya dijangka sampai di DUN Rantau dalam parlimen Rembau kira-kira jam 6 petang ini dan akan bermalam di pejabat PKR di situ sebelum meneruskan berbasikal esok.