Seramai 24 pemandu didenda RM300, manakala 20 dilepaskan dengan amaran oleh Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur semalam setelah mengaku bersalah tidak mematuhi isyarat lalulintas yang dipantau Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Selain itu, 13 lagi mengaku tidak bersalah dan kes mereka akan disebut semula pada 24 dan 26 Disember ini.
Kesemua mereka diwakili lima peguam antaranya Zulhazmi Shariff dan Mohd Fikah Sanusi.
Kes itu didengar di hadapan Majistret Noorashikin Sahat.
Sementara itu, kes terhadap seorang wanita berusia dalam 50-an ditarik balik atas alasan kesilapan teknikal.
Kesemua mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan profesion seperti akauntan, jurujual dan peguam, didakwa gagal mematuhi isyarat merah lalu lintas di sepanjang Jalan Klang Lama ke Jalan Sepadu, dan di Jalan Ipoh antara hujung bulan September hingga awal Oktober lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000.
Pegawai pendakwa dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zulkhairee Sabirudin mewakili pihak pendakwaan.
- Bernama