Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

dikemaskini Bekas ketua Umno Subang Datuk Mokhtar Dahlan menyerahkan isu tanah milik Umno yang kini didakwa menjadi tapak kondominium untuk dijelaskan pemangku ketua Umno Kelana Jaya Datuk Yahya Bujang.

Mokhtar berkata demikian memandangkan tanah berkenaan diserahkan kepada Umno Kelana Jaya selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya 2004.

Beliau sebelum itu mengakui bahawa Umno Subang sebelum itu menerima tanah bagi tujuan mendirikan bangunan Umno bahagian.

"Kita (Umno Subang) mohon (tanah dan) dapat dan selepas persempadan baru wujud bahagian Subang Baru dan Subang Lama," katanya.

Bahagian Subang baru kemudian dikenali sebagai Umno Subang dan bahagian Subang Lama dikenali sebagai Umno Kelana Jaya, katanya.

Menurutnya lagi, pada itu Umno Malaysia mengarahkan agar aset Umno bahagian yang dipecah-pecahkan selepas persempadanan semula, dibahagikan sama rata dengan bahagian baru.

Namun beliau pada masa itu memutuskan untuk menyerahkan tanah tersebut untuk ditadbir Umno Subang Lama.

"Saya serahkan (tanah) kepada pentadbir Subang yang lama.

 "Yang menguruskan transaksi (tanah Umno) Subang adalah di bawah Datuk Yahya Bujang.

"Urusniaga itu (berlaku) di bawah beliau," katanya ketika diminta mengulas mengenai tapak tanah yang dikunjungi DAP semalam.

Tambahnya lagi, beliau sendiri sudah memaklumkan dakwaan terbaru DAP berhubung dakwaan berhubung tanah berkenaan kepada Yahya.

Beliau menjangkakan, Yahya akan menjelaskan perkara itu sekembalinya dari luar negara pada minggu depan.

DAP semalam mengunjungi kawasan kondominium Suria Damansara, yang didakwa diperolehi Umno Subang pada tahun 2004 dengan harga pada RM1 sekaki persegi dan kini bernilai RM200 sekaki persegi.

MP DAP Tony Pua yang turut mengunjungi kawasan tersebut mendakwa tanah berkenaan kini menjadi tapak projek Suria Damansara – kondominium 200 unit yang setiap satunya dianggarkan berharga RM450,000, dakwanya lagi.

Kunjungan ke tapak berkenaan dibuat susulan pendedahan ADUN Sekinchan Ng Suee Lim pada bulan lalu bahawa BN membeli 24 keping tanah di Selangor pada harga hanya RM1 sekaki persegi sekitar tahun 2004 ke 2008.

Ketua penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus yang mengulas pendedahan itu berkata tanah berkenaan tidak diberi kepada individu, sebaliknya digunakan untuk kepentingan rakyat.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS