Dua orang penyokong Pakatan Rakyat serta seorang penyokong BN cedera dalam satu pergaduhan di ceramah yang dihadiri ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi.
Lidah parti PKR Keadilan Daily melaporkan, salah seorang penyokong Pakatan itu mengalami kecederaan di bahu kiri yang didakwa akibat diserang dengan satu senjata tajam.
“Ia berlaku ketika sekumpulan samseng Umno yang sebahagiannya membawa bendera BN mengganggu ceramah di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini.
“Kumpulan samseng Umno yang sebahagiannya didakwa sebagai pesilat, selain berbuat bising menggunakan kata kesat turut melempar batu ke tapak ceramah,” laporan itu dipetik.
Sementara itu, blog pro-Pakatan sharpshooterblogger.blogspot.com pula mendakwa ketua cawangan PAS Air Panas mengalami kecederaan di kepala akibat terkena satu objek yang dilemparkan ke arahnya.
Dalam satu tulisan di Twitter hari ini, ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mempersoalkan siapakah yang memulakan provokasi berkenaan.
"Insiden Gombak semalam: Siasat semua pihak. Politik keganasan mesti ditolak. Tapi siapa mula provokasi? Orang BN cedera," dakwanya.
Khairy turut memuatkan satu gambar menunjukkan seorang lelaki dengan kesan darah di dahi.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya di ceramah berkenaan mengutuk insiden berkenaan yang disifatkan sebagai perbuatan golongan “jahiliah”.
Menurut laporan Harakah Daily itu lagi, Anwar juga mahu polis mengambil tindakan segera ke atas kejadian tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, timibalan ketua cabang PKR Gombak Amirudin Shari turut mengutuk serangan berkenaan dan mahu Pemuda Umno bertanggungjawab ke atas tindakan keganasan berkenaan.