Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu salun: K'jaan PAS K'tan temui 2 pertubuhan Cina esok

Kerajaan PAS Kelantan akan berunding dengan dua pertubuhan Cina di negeri itu esok bagi mencari penyelesaian berhubung kontroversi kedai gunting rambut yang disaman Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerana didakwa melanggar syarat lesen.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau diberikan mandat untuk mewakili kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu itu.

    

Katanya beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Datuk Mohd Fadzli Hassan akan mengadakan perbincangan itu di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu esok.

    

Dua wakil pertubuhan yang akan menyertai perbincangan dengan kerajaan negeri itu, ialah Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hua Kelantan, Oie Poh Choon dan Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Goh Tee Chew, katanya.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Kota Darulnaim, di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan susulan kerajaan negeri berhubung  tindakan MPKB-BRI yang menyaman pemilik salun kerana menggunakan pekerja wanita untuk menggunting rambut pelanggan lelaki walaupun kedua-duanya bukan beragama Islam.

    

Seorang pengusaha salun dilaporkan disaman lebih 10 kali kerana membenarkan pekerja wanitanya menggunting rambut pelanggan lelaki termasuk bukan Islam.

    

Tindakan itu menimbulkan kontroversi apabila Pengerusi DAP Karpal Singh dilaporkan menggesa kerajaan PAS Kelantan supaya menjelaskan perkara sebenar mengenai tindakan perundangan Islam yang dikenakan kepada bukan Islam di negeri ini.

    

Karpal, yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor, menegaskan orang bukan Islam di Kelantan yang dikenakan tindakan saman berdasarkan undang-undang Islam, boleh mencabar saman terbabit di mahkamah.

    

Takiyuddin dalam kenyataan akhbar sebelum ini dilaporkan berkata setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan PAS Kelantan adalah selari dengan peruntukan Perlembagaan dan demi kebaikan semua.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS