Berita ragut, rogol dan bunuh yang sering kali menghiasi dada-dada akhbar negara memang menggusarkan masyarakat dan memberi kesan yang mendalam kepada kaum hawa yang sering menjadi mangsa.
Bak kata pepatah lama, malang itu tidak berbau. Wanita sering dijadikan sasaran oleh mereka yang tidak dikenali malah yang juga dikenali kerana dianggap 'lemah' dan mudah diambil kesempatan.
Maka sudah tiba masanya bagi wanita menangkis tanggapan itu dan belajar untuk menjadi 'sekuat' lelaki dengan melengkapkan diri mempelajari seni mempertahankan diri.
Pelakon dan pengacara, Sazlini Shamsul Falak, 31, atau lebih dikenali sebagai Sazzy Falak, melihat seni mempertahankan diri sebagai satu bonus bagi golongan wanita pada masa kini.
Ibu kepada sepasang kembar perempuan ini berkata meskipun golongan wanita memang terkenal dengan sifat lemah-lembut namun ketegasan harus dipamerkan dalam berdepan dengan ancaman.
Beliau berkata ilmu mempertahan diri mampu memantapkan daya ketahanan fizikal dan mental selain meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan situasi yang mencemas dan membahaya keselamatan diri.
"Kita tinggal di dunia yang mana saban hari banyak jenayah berlaku, ia amat menyedihkan... kita tidak mahu ia terjadi kepada kita sendiri atau yang lain.
"Jadi sekurang-kurangnya jika kita belajar sedikit mengenai seni mempertahan diri, kita telah mempersiap diri kita dengan lebih baik tatkala kita melangkah keluar dari rumah," katanya ketika ditemui pada Majlis Minum Petang Amal anjuran Forum Ibu-Ibu Bekerjaya Malaysia (MWMF) baru-baru ini.
MWMF adalah forum online yang diwujudkan pada 2011 bagi membantu wanita dalam kerjaya mahupun kehidupan berkeluarga serta membincangkan isu-isu semasa yang menjadi permasalahan bagi kaum wanita masa kini.
Tidak rugi untuk mempelajari seni itu dan berdasarkan pengalaman beliau sendiri menyertai beberapa latihan singkat, pelbagai teknik dan kaedah berguna diajar untuk melepaskan diri jika diancam penjenayah.
"Saya sendiri mahu belajar lebih lagi... Bagi saya pendidikan dan pengetahuan adalah kuasa, lebih banyak yang anda tahu, maka lebih bersedialah anda dalam menghadapi dunia," katanya.
Tiada masa bukan alasan
Bagi pelakon, pengacara, perunding motivasi, penyanyi dan komposer, Datuk Ahmad Fazley Yaakob, 32, wanita terutama yang bergelar isteri dan ibu sering mengabaikan seni mempertahankan diri atas alasan faktor kekangan masa.
Beliau berkata keselamatan diri juga menjadi keutamaan justeru alasan itu hanya menunjukkan sikap acuh tidak acuh terhadap keselamatan diri sendiri.
"Mempelajari seni mempertahankan diri adalah sangat penting untuk wanita, malah atas kesedaran bersama, saya juga mengajar isteri saya, Azrene Soraya seni pertarungan 'kickboxing'.
"Kalau ada masa terluang, wanita disaran tidak hanya belajar aerobik tetapi juga seni mempertahankan diri kerana itu dapat membantu menjaga keselamatan diri apabila tidak ada orang yang membantu," katanya, yang juga pengamal seni silat dan taekwondo.
Beliau berkata penjenayah kebiasaannya akan menghentikan hajat untuk melakukan apa-apa terhadap wanita selepas menyedari mangsa mempunyai ilmu mempertahankan diri.
"Seni mempertahan diri juga membantu wanita tampil lebih kental dan berkeyakinan," katanya.
Pupuk disiplin dan keyakinan
Dr Ramlan Ahmed, 44, pula berkata kaum hawa harus menimbangkan seni mempertahankan diri Jepun Aikido yang turut membantu menerapkan disiplin, fokus dan semangat serta keyakinan yang tinggi pada diri sendiri.
Beliau, yang juga Pengasas Aikido Shudokan Malaysia (ASM) berkata Aikido berbeza daripada seni mempertahankan diri yang lain kerana ia tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk berlawan, sebaliknya menggunakan tenaga lawan untuk menangkis serangan.
"Semua seni lain bagus, cuma perbezaan Aikido adalah ia lebih terarah kepada strategi mempertahankan diri bagi mengelakkan kecederaan jadi semua boleh mempelajarinya termasuk wanita dan kanak-kanak.
"Aikido lebih kepada penggunaan minda serta kepekaan kepada persekitaran dan tidak memerlukan pengamalnya menyerang lawan apatah lagi menggunakan senjata malah tiada pertandingan dalam seni mempertahankan diri ini," katanya.
Seni mempertahan diri ini juga berupaya membuka minda wanita bahawa anggota badan mereka juga berupaya bertindak sebagai senjata ketika menghadapi serangan.
Belajar seawal usia lima tahun
Ramlan berkata seni mempertahan diri seharusnya diperkenalkan dan diajar kepada kanak-kanak khususnya kepada kanak-kanak perempuan seawal usia lima tahun untuk membentuk sahsiah dan keyakinan diri.
Bagi memberi semangat kepada kanak-kanak dan wanita untuk menyertainya, seni mempertahankan diri boleh dijadikan aktiviti bersama keluarga dengan satu keluarga belajar bersama.
Beliau berkata pelbagai aksi Aikido yang dilihat seakan berbahaya seperti aksi menggulingkan badan dan terhempas sebenarnya tidak mendatangkan kecederaan jika menggunakan teknik yang betul.
"Walaupun ada bunyi hentakan yang agak kuat, ia tidak sesakit yang difikirkan kerana sebenarnya ada teknik untuk melambatkan hentakan dan mengelakkan berlakunya kecederaan." katanya.
Beliau berkata seni atur Aikido yang kemas dan tegas membantu wanita untuk memiliki kekuatan fizikal tanpa mengorbankan sifat kesopanan dan kelembutannya.
"Apabila seorang wanita yakin dengan kebolehan untuk menjaga dirinya sendiri, wanita juga akan berasa lebih selamat untuk melaksanakan aktiviti hariannya," katanya.
Fokus keadaan sekeliling
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MWMF Parveen Yassin, 32, berkata selain seni mempertahankan diri, adalah amat penting bagi wanita agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling ketika berada di mana-mana khususnya ketika berseorangan.
"Bila berjalan kaki tengok depan dan awasi sekeliling, jangan sibuk
menggunakan telefon atau leka buat perkara lain bagi mengelakkan diri menjadi sasaran," katanya yang turut berminat mempelajari seni mempertahankan diri.
Majlis Minum Petang Amal yang bertemakan 'Fab, Fit and Fresh for 2013' itu berjaya menarik seramai 100 peserta termasuk kaum lelaki dan memperuntukan RM5,000 untuk disampaikan kepada Yayasan Chow Kit.
- Bernama