Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'tan sedia bincang dengan pengusaha salun
Diterbitkan:  Nov 27, 2012 4:23 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Atas cadangan Dewan Himpunan Penyokong  PAS (DHPP), Kerajaan Kelantan bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan wakil masyarakat dan peniaga bukan Islam berhubung isu salon unisex.

Portal berita Harakahdaily melaporkan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Fadzli Hassan sebagai berkata kerajaan negeri bersedia untuk berbincang dengan mereka bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut dalam waktu terdekat.  

Menurutnya lagi, kerajaan negeri mengambil kira hasrat bagi menjaga hak masyarakat bukan Islam di Kelantan dan pertemuan akan diatur secepat mungkin.

NONE “Kerajaan Kelantan berusaha sedaya mungkin cuba melaksanakan dasar Islam dalam pentadbiran sekadar mengikut bidang kuasa yang ada.

“Tetapi dalam masa yang sama akan cuba memastikan hak-hak dan kepentingan masyarakat bukan Islam juga terjamin,” katanya dipetik.

Dr Fadzli bagaimanapun berkata, sebelum ini peraturan salun milik wanita hanya untuk pelanggan wanita sahaja, berjalan dengan baik dan tiada bantahan rasmi yang sampai kepada pihak kerajaan negeri.

Tujuan peraturan ini dibuat dahulu adalah untuk mengekang penyalahgunaan premis sebegini untuk aktiviti yang tidak bermoral dari merebak ke negeri ini, katanya.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Pengerusi DHPP Hu Pang Chaw meminta kerajaan negeri menghentikan penguatkuasaan semua undang-undang Islam yang dikenakan terhadap bukan Islam di negeri itu sehingga kajian terperinci dilaksanakan.

Beliau juga berkata undang-undang kecil yang digubal khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) membabitkan bukan Islam juga perlu dikaji semula kerana "tidak sesuai dengan keadaan semasa".

Kenyataan itu dibuat susulan ketetapan kerajaan negeri yang bertegas melaksanakan perundangan Islam kepada orang bukan Islam meskipun mendapat tentangan daripada Pengerusi DAP Karpal Singh. Karpal juga meminta kepimpinan PAS campurtangan dalam isu berkenaan.

Kontroversi itu timbul apabila seorang wanita bukan Islam yang bekerja sebagai pendandan rambut disaman oleh majlis perbandaran kerana menggunting rambut seorang lelaki.

1. Hadi: Perbincangan terbaik selesai isu salun

2. Isu salun: K'tan pertahan perundangan Islam

3. Karpal gesa pemimpin PAS campurtangan isu salun

4. Pendandan disaman kerana gunting rambut lelaki


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS