Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk memulakan satu projek jambatan baru di bandar Klang yang dijanjikan BN semasa kempen pilihan raya Mac 2008.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan itu berkata, kerajaan negeri akan mendahulukan wang tersebut bagi "mengotakan janji yang tidak ditepati" BN berhubung projek tersebut.

NONE "Saya difahamkan upacara pecah tanah telah disempurnakan oleh kerajaan terdahulu beberapa hari sahaja sebelum pilihan raya umum ke-12. Malangnya, setelah lebih empat tahun, jangankan jambatan, sebatang rangka tiang pun masih tidak kelihatan.

"Oleh itu, pada tahun 2013 nanti, meskipun kita maklum bahawa pembinaan jambatan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, namun kerajaan negeri akan mendahulukan wang untuk pembinaannya bagi mengotakan janji yang tidak ditepati Umno-BN," katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2013 di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini.

Jumlah RM300 juta itu, kata Khalid datang daripada rezab negeri yang tinggi "hasil daripada perbelanjaan berhemat yang dilakukan pemimpin".

Jangka siap dua setengah tahun

Satu siaran di laman Kementerian Kerja Raya menyebut, projek tersebut dirasmikan menteri besar pada masa itu, Mohamad Khir Toyo dan juga menteri kerja raya Dato Seri S. Samy Vellu, Menteri Kerja Raya pada 4 Mac 2008 di Klang.

Laman tersebut menyatakan, projek melibatkan kos RM230 juta itu dijangka siap dalam tempoh dua setengah tahun.

Ia meliputi pembinaan jalan baru sepanjang 2.5km, jambatan baru merentasi Sungai Klang sepanjang 0.5km dan naiktaraf jalan sedia ada sepanjang 1.3km.

Antara lainnya, ia bertujuan mengurangkan kesesakan di kedua-dua jambatan sedia ada – Jambatan Kota dan Jambatan Musaedin – serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, menurut kementerian itu lagi.

Khalid hari ini membentangkan belanjawan berimbang untuk tahun 2013 dengan anggaran hasil dan perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion dengan tema "Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia".

Jelasnya, tahun 2013 adalah tahun kelima Selangor membentangkan belanjawan berimbang.

Menurutnya, Selangor menjangkakan membelanjakan wang dari hasil cukai sebanyak RM584 juta (35.86 peratus hasil negeri), RM859.8 juta dari hasil bukan cukai (52.75 peratus) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM185.7 juta (11.4 peratus).

Wang tersebut kemudiannya akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus sebanyak RM996.9 juta (61 peratus) dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM663 juta (39 peratus).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS