Tindakan PAS yang mendoakan kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) mendapat restu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertegas tindakan membaca doa sedemikian tidak salah dan dibolehkan dalam Islam.
Nik Abdul Aziz berkata doa seperti itu boleh dibacakan kerana mendakwa Umno sendiri telah memperlekehkan Islam selama ini.
"Tak salah doa macam itu. Umno pun dah tolak Islam, nak mulia di mana lagi," katanya ringkas sewaktu ditemui pemberita pada akhir Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-58 di Kota Bharu hari ini.
Beliau mengulas tindakan PAS yang mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur, di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat malam lepas yang dipimpin adik kepada Mursyidul Am PAS itu, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan anjuran parti pembangkang itu
Antara kandungan doa itu ialah meminta Umno dan BN dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati dan dipermudahkan pembangkang.
Doa itu juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Nik Abdul Aziz yang agak emosional ketika diasak pertanyaan wartawan, menyifatkan Umno sebuah parti yang telah murtad kerana menolak hukum Islam.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditemui berkata doa itu boleh dibacakan ketika merasa diri dizalimi.
Bila ditanya kenapa pada malam itu tidak dibacakan doa agar Allah SWT menyelamatkan umat Islam yang tertindas di Palestin dan Syria serta etnik Rohingya, Abdul Hadi berkata doa itu sering dibacakan pada majlis-majlis keagamaan lain termasuk khutbah Jumaat.
- Bernama