Sebuah organisasi bukan kerajaan Indonesia hari ini mengutuk pihak berkuasa Malaysia kerana didakwa kurang sensitiviti dalam mengendalikan kes seorang pekerja wanita restoran Indonesia yang didakwa dirogol oleh tiga anggota polis di berek polis Prai.
Migrant Care, yang mewakili pelbagai pekerja wanita, dalam satu kenyataan, kesal mahkamah membenarkan ikatjamin RM25,000 ke atas setiap anggota polis tersebut, yang dituduh merogol dan melakukan persetubuhan di luar tabii.
"Pemberian ikatjamin itu menunjukkan kurang seriusnya pihak berkuasa Malaysia untuk bertindak ke atas jenayah yang dilakukan oleh mereka yang sepatutnya memelihara undang-undang.
"Ia juga membuktikan bahawa Memorandum Bantahan diplomatik yang disampaikan oleh Duta Besar Indonesia kepada Kuala Lumpur serta nota bantahan Kementerian Luar Indonesia, tidak menghasilkan kesan yang dikehendaki," katanya dalam kenyataan itu.
Migrant Care juga menggesa kerajaan Indonesia supaya memainkan peranan yang lebih tegas.
"Ini termasuk memangil pulang Duta Besar Indonesia ke Malaysia dan meminta Duta Besar Malaysia ke Indonesia meninggalkan republik itu.
Ia juga menggesa Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono membantah secara terbuka cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengendalikan kes rogol terhadap pekerja Indonesia itu di Sidang Kemuncak Asean yang akan datang.
[Baca berita penuh]