Apabila berbicara soal kebebasan media, yang sentiasa menjadi sasaran kecaman adalah kerajaan. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebagai pemerintah, pastinya kerajaan dilihat sebagai pengawal atas segala aspek kehidupan rakyat.
Kerajaan Malaysia yang dipimpin Barisan Nasional (BN) sering dikritik hebat atas tindakannya yang menguasai media massa, sama ada melalui pemilikan langsung oleh parti-parti komponen pemerintah atau tokoh-tokoh korporat yang pro-kerajaan, atau undang-undang yang mengawal permit, ruang pemberitaan dan penulisan serta tekanan-tekanan lain.
Tetapi mengapa kawalan media ini sentiasa menjadi isu utama? Apakah kerana rakyat Malaysia amat prihatin sekali dan sangat mencintai kebebasan media? Atau kebebasan itu sendiri menjadi matlamat utama dalam hidup setiap warganegara Malaysia?
Ledakan teknologi komunikasi maklumat membolehkan jutaan rakyat Malaysia berkongsi dengan warga dunia melalui dunia siber. Internet pernah menjadi pencetus penyebaran maklumat terutama selepas kegawatan ekonomi tahun 1997. Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan kemudian ditahan serta dibicarakan, dan akhirnya dipenjarakan, maklumat yang jarang terdapat dalam media arus perdana disalurkan melalui suara-suara alternatif termasuk laman-laman web.
Namun sejauh mana perjuangan menyalurkan maklumat melalui media alternatif memberi kesan kepada pembudayaan kebebasan di kalangan rakyat Malaysia?
Penulis dikritik
Selepas keputusan pilihanraya 1999 yang sekali lagi mengekalkan kuasa Barisan Nasional (walaupun Umno mengalami kejutan apabila kehilangan 17 kerusi Parlimen dan kerajaan negeri Terengganu), kritikan dan kecaman terhadap kerajaan agak berkurangan melalui media alternatif khususnya di laman-laman web.
Sejak dua tahun lalu, banyak laman web pro-reformasi dan anti-kerajaan mati tak berkubur, walaupun beberapa laman kekal dengan semangat 1998. Gerakan reformasi juga seperti lumpuh dengan ketiadaan tunjuk perasaan jalanan manakala parti-parti politik kembali kepada cara asal mereka membangkang melalui ceramah, forum dan kenyataan akhbar.
Tahun lalu, bagai mengisi kehampaan ruang-ruang media, beberapa penulis khususnya di kalangan akademik Melayu mencetuskan perdebatan mengenai persoalan kebebasan dan agama terutama dalam isu ulama, politik dan undang-undang agama dan hal-hal berkaitan.
Mereka mengkritik sesetengah golongan ulama, termasuk kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang didakwa sebagai menutup ruang pemikiran umat Islam. Tulisan-tulisan mereka banyak disiarkan di media arus perdana dan juga pendapat-pendapat mereka disuarakan dalam forum terbuka termasuk yang dianjurkan oleh masyarakat agama lain di negara ini.
Memorandum
Tetapi keghairahan penulis-penulis itu yang dianggap sesetengah pihak sebagai suara Islam liberal tidak bertahan lama. Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang didaftarkan sebagai NGO tidak dapat menahan telinga mereka dengan kritikan penulis-penulis itu telah menghantar satu memorandum kepada Majlis Raja-Raja mendesak supaya tindakan keras diambil terhadap penulis-penulis berkenaan.
Isu itu mendapat sambutan perbahasan hebat di kalangan media massa termasuk media alternatif. Banyak juga pendapat yang membela penulis-penulis Islam liberal itu walau ramai pula yang menyokong desakan PUM.
Akhirnya Majlis Raja-Raja melalui Majlis Fatwa Negara mengambil keputusan bahawa tidak ada tindakan perlu diambil tetapi semua pihak harus berhati-hati dalam soal penulisan berhubungan isu-isu agama.
Ramai yang menyangka isu itu selesai begitu sahaja. Tetapi PUM sekali lagi bersuara, kali ini dengan sokongan terbuka kumpulan-kumpulan Islam di Malaysia, yang mengulangi desakan pertubuhan ulama itu.
Jadi apa kena-mengena isu PUM dan kawan-kawan seperjuangannya dengan soal kebebasan media di Malaysia?
Resolusi
Persoalan ini boleh dijawab dengan melihat kandungan resolusi dan kenyataan bersama Itjima' Khas PUM dan pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia serta individu-individu prihatin pada 17 Mac lalu. Antara tuntutan itu (dipetik secara verbatim):
Ijtima' itu juga mendesak pemilik media massa mengamalkan "dasar penyiaran yang sihat, beriltizam dengan etika media massa yang adil, benar serta bersikap professional serta menjaga integriti para wartawan mereka".
Kontradiksi
Dilihat kepada tuntutan-tuntutan itu, jelas wujud kontradiksi yang nyata. Dalam usaha PUM dan rakan-rakan seperjuangannya mahu media massa yang adil, benar dan profesional, mereka pada masa yang sama, mahu pihak berkuasa mengawal suara-suara yang berbeza daripada fahaman mereka.
Tuntutan itu disokong oleh pertubuhan-pertubuhan Islam yang dianggap mewakili pendirian orang Melayu seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Jemaah Islah Malaysia (Jim), beberapa persatuan Islam yang mewakili pelajar di pusat pengajian tinggi dan individu daripada organisasi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).
Di kalangan mereka juga ramai yang jelas pendirian dalam menyokong perjuangan PAS, walaupun bukan sebagai ahli. Ini bukan soal politik kepartian tetapi apabila berbicara mengenai kebebasan media, perlukah ia wujud dalam keadaan yang terpilih sahaja?
Malaysia di bawah pemerintahan BN sudah lama melaksanakan dasar dan program Islamisasi sejak 1981 yang sudah menghasilkan ribuan masjid dan surau, serta graduan ilmu fiqh dan usuluddin, dan juga sistem perbankan, insurans dan pajak gadai Islam. Sehingga Islam menjadi sinonim dengan apa-apa program pembangunan ekonomi dan sosial. Malah program kebudayaan Melayu juga dikawal dengan kayu ukur agama sehingga banyak seni rupa dan persembahan Melayu diharamkan atau "dimatikan" begitu sahaja, sama ada oleh pihak berkuasa pusat atau negeri yang diperintah oleh BN atau PAS.
Jika kebebasan media harus tunduk kepada suara satu kaum atau agama (bukan dalam soal "menghina agama" tetapi isu-isu kritikal berhubungan pelaksanaan dan amalan apa sahaja program dan projek yang berlandaskan Islam), apa ertinya kebebasan itu sendiri?
Skop kritikan
Suara-suara lantang pejuang kebebasan media (khususnya NGO yang tidak meletakkan agama sebagai asas perjuangan mereka) tidak pula jelas kedengaran apabila isu ini diketengahkan. Apakah kebebasan media itu bererti hak untuk mengkritik pemerintah semata-mata? Dan kritikan itu pula harus dalam ruang lingkup politik dan politik kepartian sahaja?
Sememangnya apabila hak mengadakan ceramah dihadkan, atau pada ketika tertentu, diharamkan, langkah itu patut dikritik. Tetapi pengkritik itu diam sahaja (malah, menentang pula) apabila pihaknya mahu menutup suara yang mengkritiknya.
Dalam soal kebebasan bersuara dalam isu pelaksanaan, amalan dan proses Islamisasi sebagai dasar politik, ekonomi dan sosial, dan bukan sebagai isu akidah seolah-olahnya jaguh-jaguh agama tidak mahu sama sekali wujud kebebasan media. Bukan sahaja sikap ini wujud di pihak PUM dan kumpulan-kumpulan yang bersekongkol dengannya, malah juara-juara agama di pihak kerajaan juga mahu menutup mulut dan mengikat tangan sesiapa sahaja yang mempertikaikan, atau mencadangkan sesuatu yang baik atas nama kebebasan, demokrasi, hak asasi dan keadilan.
Apakah perlu disalahkan kerajaan sahaja apabila merenung masa depan kebebasan dan kebebasan media di negara ini?
Jika majoriti rakyat sendiri tidak bersedia untuk berdepan dengan apa yang dimaksudkan dengan kebebasan, rakyat sememangnya wajar menerima apa yang diterima sekarang. Mengikut kata-kata popular masakini, The people always get the kind of government they deserve .
Sokongan awam
Sememangnya wartawan pemilik media, pengarang dan pemberita harus berjuang keras untuk memastikan undang-undang yang menyekat hak kebebasan dapat dilonggarkan, jika tidak pun dihapuskan. Tetapi orang awam khususnya suara-suara yang mengaku mewakili rakyat sebagai pembaca, penonton dan pendengar harus memberi sokongan.
Sokongan ini perlu dalam bentuk yang mana kebebasan harus menjadi intipati kepada kebebasan media, dan bukan secara terpilih dan hanya yang memberi keuntungan kepada satu pihak sahaja.
Malaysia adalah negara berbilang kaum dan bangsa. Kontrak sosial kemerdekaan negara pra-1957 menyatakan bahawa orang Melayu diberi keistimewaan tertentu tanpa mengorbankan hak kaum lain, dan Islam pula dijadikan agama rasmi tetapi negara ini bukan negara Islam (dalam konteks sebuah negara agama/ theocracy ). Ini sudah menjadi teras kepada keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia, dan walaupun dalam ruang yang sempit, suasana kebebasan tetap wujud.
Tetapi jika majoriti rakyat rela melihat hanya satu kumpulan tertentu mempunyai hak dan kebebasan manakala yang lainnya harus disekat, selama itulah soal kebebasan termasuk kebebasan media hanya menjadi propaganda politik.
Sama ada soal kebebasan secara am atau kebebasan media secara khusus, tindakan satu kumpulan yang mahu hak dan keistimewaan yang khusus akan (dan telah pun) melahirkan tindakbalas kumpulan dari agama dan etnik lain yang membuat tuntutan yang hampir sama tahap ketidakmunasabahannya.
Jadi, kebebasan (media) untuk siapa?
WAN HAMIDI HAMID ialah seorang wartawan bebas yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan menjangkau 15 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Berita Harian, The Star, The Sun dan Straits Times (Singapura).