Para doktor, terutamanya dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dirayu supaya bersama-sama dengan Tenaganita menentang hukuman sebat ke atas pesalah yang masih digunapakai Malaysia.
Pengerusi NGO yang menentang penindasan terhadap pekerja wanita itu, Irene Fernandez berkata hukuman itu sebenarnya adalah satu bentuk keganasan.
"Saya ingin merayu kepada doktor terutamanya daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) untuk bersama kami dan menghentikan keganasan.
"Sebelum seseorang itu disebat doktor akan dipanggil untuk menilai sama ada individu itu sihat atau tidak," katanya.
Memetik data dari Amnesty International, Irene menjelaskan di antara tahun 2005 hingga 2010, seramai 29,759 tahanan dihukum sebat walaupun mereka bukan pesalah jenayah.
"Amnesty International dengan jelas menyatakan sebat adalah satu bentuk penyeksaan untuk merendah-rendahkan (martabat) orang lain terutamanya mereka yang bersalah di bawah Akta Imigresen.
"Dalam masa lima tahun kita menyeksa hampir 30,000 orang termasuklah pemohon suaka," katanya sewaktu bercakap dalam forum 'Hentikan Keganasan Kerajaan' di auditorium Majlis Peguam petang semalam.
Turut bersama Irene dalam forum itu adalah peguam pejuang kebebasan sivil, Syahredzan Johan.
Syahredzan pula menggariskan ketiadaan mekanisme khusus di samping kurangnya kesedaran dalam menangani keganasan kerajaan sebagai punca utama ia terus berlaku.
"Setiap kali kita ada perhimpunan besar-besaran yang ada dimensi politik, kita akan lihat keganasan berlaku.
"Semua itu didokumentasi dan berlaku berulang kali.
"Perkara ini menyebabkan hati kita tidak ada sebab untuk tidak marah," katanya.
Menurutnya, kesedaran tentang hak-hak rakyat itu sendiri juga mampu melindungi mereka daripada bentuk keganasan sewaktu berada dalam tahanan polis.
Pada masa yang sama beliau mencadangkan pemantauan berterusan ke atas pihak berkuasa sebagai satu langkah keluar mengurangkan keganasan tersebut.
"Apa beza antara kerajaan seperti di UK dan US dengan negara seperti Russia atau Libya di bawah Ghaddafi dahulu?
"Bezanya apabila kerajaan menggunakan kekerasan mereka boleh dibawa kepada pengadilan.
"Di UK, anda boleh menyaman kerajaan dan tiada masalah," kata Syahredzan yang turut aktif dalam pertubuhan santai peguam dikenali sebagai Loyar Buruk.
Peguam hak asasi manusia merangkap naib presiden PKR, N Surendran pula menceritakan mengenai perkara yang didakwanya sebagai modus operandi polis apabila berhadapan dengan kes kematian dalam tahanan.
"Pertama, mereka akan menghalang anda (dari mendapat maklumat mengenai kematian)," dakwanya.
Jika tak berjaya, mereka akan menggunakan 'Rancangan B', dakwa Surendran yang merujuk kepada apa yang didakwanya tindakan memburuk-burukkan nama mangsa dan keluarganya dalam sidang media.
Beliau turut mengkritik prosedur meluluskan permohonan reman polis di hadapan majistret ke atas mereka yang disyaki melakukan jenayah.
"Dalam setiap kes, proses (memohon) reman memakan masa satu setengah minit sahaja.
"Kalau orang kena pukul (sebelum direman), adakah orang itu akan mengaku depan orang yang memukul mereka?" tanya Surendran.
Turut sama hadir pada forum itu sebagai hadirin adalah ibu tunggal mangsa tembakan polis, Norizan Salleh, ahli keluarga Syamil Hafiz dan ahli keluarga Dinesh Darmasena.
Norizan sebelum ini dilapor ditembak lima kali oleh polis tanpa alasan kukuh dan sehingga kini belum didakwa di mahkamah.
Syamil dan Dinesh pula meninggal dunia selepas terlibat dalam kejadian ditembak polis tidak lama dahulu.