Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memasuki era baharu pada 2002 apabila ia memperoleh dua kapal selam Scorpene buatan Perancis berharga RM 3.4 bilion untuk meningkatkan kemampuannya melindungi kedaulatan perairan negara.
Menurut TLDM, langkah penting itu diambil untuk mengelak berulangnya 'episod 1511' apabila armada Portugis menyerang dan menawan bandar pelabuhan Melaka, yang ketika itu terkenal sebagai pusat perdagangan utama di Asia Tenggara.
Menurut Sejarah Melayu, setelah tiga hari menerima tentangan hebat daripada bala tentera kerajaan Melaka, tentera Portugis akhirnya berjaya menawan jambatan Sungai Melaka dan seterusnya menguasai bandar bersejarah itu.
Walaupun perajurit Melaka berjuang bermati-matian untuk mempertahan tanahair mereka daripada dijajah, namun kekurangan dari segi peralatan senjata memaksa mereka untuk menerima kekalahan.
Berbanding perajurit Melaka yang hanya bergantung pada keberanian dan senjata tradisional seperti keris dan lembing, tentera Portugis dilengkapi peralatan lebih moden termasuk senapang dan meriam, yang mampu membunuh dari jauh.
Selepas Portugis, Melaka dijajah Belanda pada 1644, sebelum jatuh pula ke tangan British berikutan perjanjian Inggeris-Belanda yang ditandatangani di London pada 1824.
Sejarah hitam yang dialami Melaka itu membuktikan betapa pentingnya sektor pertahanan negara sentiasa diperkasa dan dilengkapi peralatan moden untuk membolehkannya menghadapi sebarang kemungkinan.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata kehadiran dua kapal selam tersebut membantu meningkatkan kekuatan pertahanan negara dalam memelihara kedaulatan perairan Malaysia daripada ancaman musuh.
Bercakap kepada wartawan yang menyertai program kunjungan media ke pangkalan TLDM di Kota Kinabalu baru-baru ini, Abdul Aziz berkata walaupun pemerolehan dua aset penting pertahanan negara itu mendapat reaksi negatif daripada sesetengah pihak, namun beliau yakin dengan kemampuan dua kapal selam itu dalam melindungi kedaulatan Malaysia.
Abdul Aziz dilantik sebagai Panglima TLDM pada 2008.
Kapal selam berkenaan, yang masing-masing mengambil sempena nama dua bekas perdana menteri Malaysia, menggunakan kuasa diesel. KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak beroperasi secara 'stealth' serta mampu memberi kejutan kepada kapal yang cuba menceroboh perairan negara.
Setiap satu daripadanya, yang mampu membuat serangan dari dalam air ke permukaan laut, membawa 32 anak kapal dan berupaya berada di dalam air selama 45 hari secara berterusan.
Abdul Aziz berkata pangkalan TLDM di sini akan menjadi pusat latihan kapal selam Scorpene pertama dunia apabila kemudahan latihan simulator keduanya berharga kira-kira Euro 27 juta (RM 135 juta) siap untuk beroperasi awal tahun depan.
"India dan Chile telah menyatakan minat mereka untuk menghantar anggota tentera laut mereka menjalani latihan di pangkalan ini.
"Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara pesisir, maka TLDM perlu
meningkatkan kemampuannya dari segi Kapal Tempur Pesisir (LCS)," kata beliau sambil menjelaskan bahawa usaha itu merupakan sebahagian daripada rancangan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia.
(Zon pesisir adalah bahagian laut, tasik atau sungai yang terletak
berhampiran pantai. Bagi negara berpantai, zon pesisir menganjur dari tikas air pasang, yang jarang ditenggelami air, hinggalah ke kawasan pinggir pantai yang sentiasa ditenggelami air).
Selepas Perang Dunia Kedua, Darurat dan Konfrontasi, TLDM melaksanakan pelbagai program pemodenan dan kini dianggap antara angkatan laut paling kuat di Asia Tenggara.
TLDM mempunyai kira-kira 20,000 anggota dan dilengkapi aset paling moden di rantau ini.
Ia mempunyai sebuah pangkalan udara yang dilengkapi dua skuadron helikopter laut.
Selain dilengkapi kapal peronda pelbagai kelas, TLDM juga memiliki aset pasukan udara yang terdiri daripada helikopter Agusta Westland Super Lynx 300 dan Eurocopter AS 555 Fennec.
TLDM juga mempunyai sebuah pasukan khas dikenali sebagai 'Paskal'.
- Bernama