Bagi menambah bekalan air negeri, Selangor akan memperkenalkan teknologi penapisan membran yang dipertikaikan kerajaan pusat di sebuah loji lamanya di Shah Alam yang ditutup 17 tahun lalu, sebagai projek perintis.
Exco negeri Xavier Jayakumar berkata, dengan kos antara RM50 hingga RM80 juta untuk baik pulih dan naik taraf, Loji Rawatan Air Bukit Jelutong yang ditutup pada 1995 itu dijangka dibuka semula dalam tempoh enam bulan.
"Ini merupakan antara daya usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan sumber air alternatif serta teknologi yang belum diterokai dalam usaha membekalkan air terawat yang mencukupi kepada rakyat Selangor," katanya.
Menurut Xavier, semua kos akan ditanggung kerajaan negeri.
Dalam kenyataannya hari ini, Xavier berkata, pembukaan semula loji itu akan menghasilkan air terawat sebanyak 50 hingga 100 juta liter sehari (mld) dan menampung lebih daripada separuh permintaan air tambahan di Shah Alam.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga mengarahkan syarikat perunding untuk menyiapkan laporan dalam masa dua bulan bagi diteliti dan dinilai oleh Seksyen Makro dan Penswastaan, Unit Perancang Ekonomi (Upen) Selangor.
Loji air tersebut dibina pada tahun 1963 dan ditutup pada awal 1995 ekoran sumber airnya di Sungai Damansara tercemar di tahap 4.
Sementara itu, Xavier juga memberitahu sudah melawat loji itu di seksyen 13 bersama pegawai Upen, yang disertai pegawai dari Konsortium ABBAS, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan syarikat perunding.