Anggota Parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan mendesak Ronnie Liu supaya memohon maaf secara terbuka berikutan dakwaan exco kerajaan negeri Selangor itu yang mengaitkan beliau dengan projek pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves.
Kamalanathan menyifatkan dakwaan Liu bahawa beliau dan Pengerusi Gerakan Selangor Senator A Kohilan Pillay adalah antara anggota Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang meluluskan cadangan projek berhampiran kuil di Batu Caves itu sebagai satu pembohongan.
"Saya menjadi anggota MPS dari 2004 hingga 2006. Projek itu diluluskan pada September 2007, namun ketika itu saya tidak lagi menjadi anggota MPS dan tidak mempunyai hak untuk mengambil keputusan atau mengambil bahagian dalam apa jua keputusan MPS ketika itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen Isnin.
Kamalanathan mengulas kenyataan Liu baru-baru ini bahawa beliau dan Kohilan, yang juga Timbalan Menteri Luar, adalah antara individu yang bertanggungjawab meluluskan cadangan projek itu.
"Ronnie Liu membuat kenyataan itu semasa saya menghadiri persidangan Parlimen Asean di Bangkok, Thailand. Berikutan itu, pegawai saya telah membuat laporan polis mengenai kenyataan berunsur fitnah berkenaan pada 24 Oktober lepas di Balai Polis Brickfields supaya polis melakukan siasatan," katanya.
- Bernama