Pemimpin akar umbi Umno hari ini menggesa jawatankuasa khas parti Melayu itu bertindak tegas, termasuk menyingkirkan segera ahli yang khianat, tidak seperti sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama.
Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, sebelum ini hukuman untuk kes pelanggaran etika atau khianat mengambil masa sehingga menimbulkan kecewa di kalangan rakyat.
"Saya berharap jawatankuasa berkenaan akan lebih tegas mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang berlaku khianat dan mensabotaj calon-calon BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang," tegasnya seperti dilaporkan dalam blog Umno Cheras.
Syed Ali juga berkata, mana-mana ahli Umno yang mengkhianati dasar perjuangan parti sememangnya wajar disingkirkan tidak kira di peringkat mana.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan kebanyakan yang "bertukar menjadi pengkhianat" terdiri daripada pemegang jawatan penting dalam parti.
"Lazimnya yang mensabotaj parti dan pengkhianat adalah mereka yang memegang jawatan penting dalam Umno, kerana kecewa tidak dapat sesuatu yang dihajati mereka mula memburuk-burukkan parti dan pemimpin tertinggi," tegasnya.
'Dirasuk kepentingan peribadi'
Tambah Syed Ali lagi, jarang berlaku ahli-ahli parti di peringkat akar umbi yang khianat, sebaliknya membabitkan pemimpin termasuk yang pernah berada dalam kabinet.
"Saya percaya ahli-ahli Umno peringkat akar umbi tetap setia kepada parti, mereka ikhlas berjuang untuk parti," tegasnya sambil menyifatkan keadaan itu seperti "dirasuk kepentingan peribadi".
Syed Ali juga melihat penubuhan jawatankuasa khas bagi mengambil tindakan ahli ahli yang khianat mampu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap masa depan Umno.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu setelah dipersetujui Majlis Tertinggi (MT) di PWTC baru-baru ini.
Ia akan diketuai oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dan beberapa wakli MT yang tiada berkepentingan.