Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendapati Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) menerima sejumlah wang sebanyak RM630,000 tanpa mengeluarkan resit rasmi.

Laporan itu juga menemukan "kelemahan" daripada majlis itu apabila cek berjumlah RM720,000 dan wang tunai berjumlah RM3,964 tidak dimasukkan ke dalam bank dengan segera.

Hasil penemuan itu dinyatakan dalam pemeriksaan audit secara mengejut Jabatan Audit Negara terhadap MAIPS - antara lapan agensi kerajaan yang terlibat dalam pemeriksaan itu.

Empat lagi kelemahan yang dikenalpasti daripada badan yang menguruskan hal ehwal Islam negeri itu antaranya:

  • Buku tunai dan daftar mel tidak diselenggara dengan lengkap dan kemas kini.
  • Baki panjar wang runcit tidak bersamaan dengan wang tunai di tangan.
  • Buku tunai tidak disemak setiap hari.
  • Baki wang yang tidak dapat diagihkan selepas tempoh 21 hari tidak dikembalikan untuk diakaunkan dengan segera.

Antara semua enam agensi dan jabatan kerajaan di negeri Perlis, MAIPS berada di tahap paling rendah

memuaskan dengan penarafan sebanyak dua bintang.

"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis walaupun berjaya meningkatkan tahap prestasi pengurusan kewangannya tetapi masih di tahap memuaskan buat kali ke-5 berturut-turut," laporan itu dipetik.

Bagaimanapun, laporan itu menjelaskan prestasi kewangannya mencatatkan peningkatan apabila mengumpul pendapatan kedua terbanyak selepas Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).

MAIPS mencatat pendapatan sebanyak RM39.34 juta, manakala PKENPs memperolehi RM39.92 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS