ULASAN Majlis pengijazahan tinggi martabatnya dalam tradisi keilmuan di seantero dunia.
Dalam majlis menyambut kejayaan penuntut dalam bidang masing-masing ini, graduan akan menyarung jubah dan diletakkan di atas kepala topi akademik ( mortar board ).
Dan kemudian siap sedia untuk menerima segulung ijazah daripada universiti.
Namun begitu, kini ramai yang beranggapan bahawa etika pemakaian dan pengijazahan ini hanyalah upacara rasmi universiti tanpa ada makna pengiktirafan ilmu.
Ada juga beranggapan bahawa ia upacara yang dicedok sepenuhnya daripada Barat. Jika begitu, dari mana asal tradisi ini dan apakah semangat di sebalik pemakaian topi akademik, jubah dan penerimaan ijazah?
Saya terpanggil untuk menerangkan secara ringkas empat aspek utama dalam majlis pengijazahan universiti yang perlu dihayati setiap graduan supaya berbekas dalam hati sanubari bahawa mereka sebenarnya membawa tanggungjawab yang berat.
Mereka memikul amanah guru untuk menyampaikan ilmu mereka kepada orang lain di samping menghargai sumbangan tamadun Islam dalam membentuk tradisi keilmuan dunia.
Tradisi pengajian hadis, tafsir
Istilah ijÄzah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud "kebenaran atau keizinan yang diberikan oleh guru kepada penuntut untuk menyampaikan ilmu yang dipelajari" ( license to teach ).
Tradisi yang asalnya diamalkan dalam ilmu hadis dan tafsir ini dibangunkan sejak abad ke-4 Hijrah atau ke-10 Masihi.
Kemudian, pada abad ke-12 Masihi, tamadun Eropah Kristian mencedok masuk ke dalam sistem pendidikan mereka dengan menggantikan istilah ijazah kepada licentia docendi.
Namun konsep itu mula dipisah-pisahkan kepada sijil, diploma, izajah dan seterusnya. Berbanding licentia docendi yang hanya dikurniakan oleh universiti, penganugerahan ijÄzah terletak pada hak guru.
Ini membuatkan guru pada waktu itu amat bersungguh-sungguh mendidik penuntut kerana mereka bertanggungjawab terhadap apa yang diajar dan apa yang akan diajar oleh anak murid mereka kepada orang lain.
Para penuntut pula bersungguh-sungguh mendalami ilmu untuk mendapatkan pengiktirafan daripada guru. Tempoh untuk mendapatkan ijazah juga tidak tetap kerana bergantung kepada prestasi penuntut untuk meyakinkan guru.
Inilah faktor penting mengapa taraf pendidikan dan budaya ilmu dalam tradisi pendidikan Islam dapat dikekalkan.
Kandungan dalam ijazah pula akan dimulakan dengan basmalah , puji-pujian kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta potongan ayat al-Qur'Än yang menyebut tentang ketinggian taraf orang yang berilmu.
Contohnya surah al-Zumar ayat ke-9. Kemudian guru akan menyatakan namanya dan berterima kasih kepada guru sewaktu mereka masih menuntut , nama penerima ijazah, akhlak serta prestasi penerima semasa menuntut ilmu dan pelbagai maklumat yang memaparkan jalur pewarisan ilmu ( silsilah ) mereka.
Ijazah kebiasaannya akan diberikan dalam bentuk buku kecil yang mengandungi maklumat hingga mencapai dua puluh muka surat dan lebih berbanding sijil zaman ini dalam sehelai kertas yang digulung tanpa nama guru yang mendidik mereka.
Al-Quran di atas songkok
Dalam tradisi pendidikan Islam, apabila seseorang itu layak diijazahkan, mereka akan memakai penutup kepala seperti kopiah atau songkok kemudian di atasnya akan diletakkan al-Quran (kini diganti dengan lapisan tebal berbentuk segi empat) dan kemudian diikat pada kepala si penerima ijazah.
Ia sebagai simbol ketinggian ilmu yang dimilikinya dan berikrar akan menyampaikan ilmu yang dikuasainya dengan tulus ikhlas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ilmu yang dimiliki.
Menariknya jika dilihat zaman ini, ramai graduan secara berjemaah melontar topi mereka ke udara dengan muka yang ceria mungkin merasakan itu sekadar topi sahaja.
Jubah yang dipakai oleh penuntut dan guru mengikut warna masing-masing bertujuan membezakan orang awam dengan penuntut ilmu dan ilmuwan. Terdapat juga kisah di mana seorang menteri perlu menukar jubah menteri kepada jubah sarjana bila ingin membacakan hadis kepada pendengar.
Jika seorang itu layak mengajar, mereka akan disarungkan jubah yang digunakan oleh ilmuwan dan upacara ini masih diteruskan sehingga kini, terutamanya penganugerahan kepada penerima ijazah doktor falsafah.
Justeru itu, seperti mana mereka tidak dibenarkan meletakkan al-Qurann di atas kepala dan menyarung jubah akademik sehingga mereka benar-benar layak, seperti itu juga para penuntut universiti kini dilarang memakai jubah dan topi akademik sebelum mereka layak memakainya.
Begitulah ketinggian budaya ilmu yang dipaparkan dalam tradisi pendidikan Islam demi menjaga kesucian ilmu dan para graduan seharusnya menjiwai setiap maksud yang terkandung di dalam majlis pengijazahan ini.
Hari yang bersejarah ini sebenarnya bukanlah hari teristimewa antara graduan dengan keluarganya mahupun rakan sekuliah walaupun tidak dinafikan mereka juga penting, tetapi saat intim antara anak murid dengan guru untuk mengimbau pengembaraan ilmu mengajar dan belajar.
Dengan mendalami setiap perkara di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa setiap peri laku dan pemakaian dalam majlis pengijazahan membawa makna mengiktiraf ketinggian ilmu.
Selain itu, tujuan mendapatkan ijazah untuk menyampaikan ilmu dan melaksanakan amanah yang diberikan oleh guru.
Namun, kini, apabila tujuan mendapatkan ijazah ditumpukan semata-mata hanya kepada kemahuan ekonomi dan pasaran kerja hingga makna ilmu itu tidak meresap ke dalam diri masing-masing; maka terjadilah gejala yang tidak menzahirkan nilai kesarjanaan.
Ia antaranya menari beramai-ramai di depan Dewan Canselor dan pelbagai sambutan yang didorong dengan hawa keseronokan walhal waktu ini mereka dihormati sebagai bakal ilmuwan, bukan penghibur.
Oleh itu, adalah wajar ditanya kepada kesemua graduan, adakah kita berhak mendapat penghormatan sebagaimana dibincangkan di atas?
MOHAMAD FIRDAUS POZI calon sarjana sains Universiti Kebangsaan Malaysia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.