Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bahawa wujud cubaan untuk menyeludup wang berjumlah RM40juta kepada Umno Sabah.
Presiden Umno itu menjawab soalan pemberita - sama ada dakwaan pembangkang bahawa wang tersebut cuba diseludup daripada Hong Kong adalah berasas.
"Tidak. Hal tersebut telahpun dijelaskan di parlimen," tegasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara petang ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam persidangan di Dewan Rakyat semalam berkata, tiada masalah bagi Umno Sabah untuk menerima wang berkenaan.
Menteri itu memberi alasan, tiada kesalahan dalam transaksi seperti itu memandangkan tiada undang-undang untuk menghalang sumbangan kepada parti politik.
Dalam jawapan bertulisnya di Parlimen pada 11 Oktober lalu pula, Nazriberkata kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menunjukkan, wang berkenaan merupakan sumbangan kepada Umno Sabah dan bukannya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Katanya, elemen rasuah tidak dibuktikan dalam kes tersebut.
Pakatan juga raih sumbangan
Isu sumbangan tersebut juga dipertahankan setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan yang memberi alasan, gabungan parti pembangkang turut meraih sumbangan untuk kegiatan mereka.
Serangan berhubung isu berkenaan, katanya, menunjukkan dwistandard pemimpin Pakatan Rakyat sedangkan penyaluran sumbangan dariapda sesiapa sekalipun tidak menyalahi peruntukan undang-undang.
Kenyataan Abdul Rahman itu muncul selepas satu laporan polis dibuat oleh satu NGO berkaitan PKR - Jingga 13 - pada Rabu lalu bagi mendesak supaya siasatan dilakukan ke atas dakwaan percubaan seorang ahli perniagaan untuk menyeludup masuk RM40 juta yang dikatakan untuk Umno Sabah.
Penyelarasnya, Fariz Musa yang membuat laporan polis
mengenai semalam, mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpalit dalam perkara itu kerana beliau adalah menteri kewangan.
Laporan polis itu juga menuntut siasatan dijalankan terhadap Musa yang merupakan pengerusi Umno negeri itu.
Jutawan balak Sabah Michael Chia pada 2008 ditahan di Hong Kong dengan matawang Singapura berjumlah RM40 juta di dalam bagasinya, sebelum lelaki itu berjaya berlepas dengan pesawat ke Malaysia.