Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan negeri Kedah berhasrat untuk membuat penangguhan bagi pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik di negeri itu bagi membuat kajian sebelum pemasangan dibuat.

Exco Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat PAS yang diadakan semalam.

Beliau berkata lagi, keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat exco yang akan diadakan Rabu depan.

NONE "Kita dah buat keputusan dalam mesyuarat parti untuk tangguh pelaksanaan AES di Kedah.

"PBT (pihak berkuasa tempatan) yang ada kuasa untuk pasang. Jadi kita akan arahkan PBT supaya tangguh dulu.

"Keputusan ini akan dibawa ke mesyuarat Exco Rabu depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Sebelum ini negeri Pakatan Pulau Pinang telah mengumumkan penangguhkan AES manakala Kelantan pula dilapor sedang mempertimbangkan tindakan sama.

Selain itu, Phahrolrazi juga berkata, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan syarikat yang berkenaan akan dipanggil bagi memberi taklimat kepada semua exco.

Jelasnya, ia bertujuan bagi memberi pemahaman kepada Exco tentang prosedur dan kaedah pemasangan kamera tersebut.

"Kita juga berhasrat nak panggil JPJ dan syarikat yang pasang kamera itu supaya bagi taklimat dan penjelasan tentang kaedah, perundangan dan sebagainya tentang kamera itu," katanya lagi.

Awal bulan ini JPJ menyasarkan pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS